AM > BERITA

LZS Terima Zakat FGV Holdings Berhad Lebih RM300,000

12/09/2024 11:35 PM

SUBANG, 12 Sept (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV) berjumlah RM344,412 pada Program FGV Seikhlas Hati di Masjid Taman Subang Perdana, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata FGV melalui dana wakalahnya turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM120,000 bagi menyantuni seramai 200 keluarga asnaf fakir dan miskin di Petaling.

Beliau berkata menerusi sumbangan itu setiap keluarga akan menerima wang tunai RM550 berserta barangan makanan FGV bernilai RM50.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada dana wakalah FGV berjumlah RM480,000 yang diperuntukkan bagi menyantuni 800 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS di tiga daerah iaitu Petaling, Gombak dan Hulu Langat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tersebut yang turut dihadiri Pengarah Kumpulan Bahagian Logistik dan Perniagaan Sokongan FGV Holdings Berhad Fakhrunniam Othman.

Mohd Sabirin berkata Program FGV Seikhlas Hati merupakan kerjasama FGV dengan agensi agama khususnya agensi pengurusan zakat dalam menyantuni para asnaf.

Dalam pada itu, beliau berkata kutipan LZS setakat Ogos tahun ini telah mencapai sekitar 60 peratus daripada sasaran tahunan sekali gus menyeru lebih banya syarikat tampil mengeluarkan zakat lebih awal tanpa perlu menunggu hingga hujung tahun.

“Semoga lebih banyak syarikat tampil untuk bersama LZS atau institusi zakat lain bagi melaksanakan program seperti ini agar dapat merapatkan ukhuwah," katanya.

Sementara itu,  Fakhrunniam berkata FGV sentiasa komited dalam menunaikan kewajipan berzakat demi memenuhi tuntutan Rukun Islam keempat itu.

“Kami juga telah memperuntukkan sumbangan kepada masjid berjumlah RM10,000 iaitu RM7,000 dalam bentuk tunai dan RM3,000 berupa barangan keluaran FGV bagi mengisi tabung makanan masjid. Ini menjadikan keseluruhan sumbangan pada hari ini sebanyak RM130,000,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Dalam pada itu, seorang penerima Saifulnizam Mohd Sharif, 48 melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada FGV kerana meringankan bebannya untuk membayar sewa rumah.

“Saya sudah dua tahun terima wang zakat dan terima kasih kepada FGV atas sumbangan hari ini yang dapat meringankan beban saya dan keluarga,” katanya yang juga petugas di masjid berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan