AM > BERITA

MAIWP Sasar Perbelanjaan Agihan Zakat Berjumlah RM1.34 Bilion Tahun Ini - Mohd Na'im

22/01/2025 08:12 PM

 

PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan perbelanjaan agihan zakat berjumlah RM1.341 bilion pada tahun 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata agihan ini adalah kenaikan kira-kira 15 peratus berbanding RM1.156 bilion yang diagihkan kepada lapan golongan asnaf tahun lepas.

“Peruntukan perbelanjaan agihan zakat ini melibatkan dua fokus utama iaitu pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf berjumlah RM1.110 bilion dan agihan pemerkasaan modal insan melalui pendidikan sebanyak RM230.63 juta.

“Selain itu, MAIWP juga memperuntukkan RM407.37 juta untuk disalurkan melalui kluster bantuan kebajikan serta RM50.28 juta bagi kluster bantuan perumahan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi kutipan dan agihan zakat di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2024 di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata RM187.34 juta diperuntukkan bagi kluster pendidikan dan RM191.74 juta untuk kluster bantuan pembangunan ummah.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata RM63.64 juta disalurkan untuk kluster bantuan ekonomi dan asnaf, serta RM65.31 juta bagi kluster bantuan perubatan demi memastikan keperluan setiap golongan terbela, manakala RM197 juta bagi agihan wakalah dan RM177.99 juta bagi agihan amil untuk memperkukuh pengurusan zakat yang cekap dan berkesan.

“Insya-Allah, usaha ini akan terus membawa rahmat dan manfaat kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan,” katanya, sambil berkata Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf sebanyak RM1.216 bilion dengan jumlah bilangan pembayar 1,897,000 orang bagi tahun 2025.

Mohd Na’im juga berkata MAIWP menyasarkan peningkatan lima peratus jumlah penerima pada tahun ini berbanding tahun 2024 iaitu 284,683 orang penerima keseluruhan dan 34,651 orang dalam kalangan ketua keluarga.

“Pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan jumlah agihan dan penerima, antaranya peningkatan hasil kutipan zakat tahun 2024 yang membolehkan lebih ramai asnaf disantuni.

“Selain itu, penambahbaikan dan inovasi dalam pengagihan zakat memudahkan dana zakat diagihkan semaksimum yang mungkin, selain kos sara hidup yang semakin tinggi terutama di Wilayah Persekutuan memberi impak kepada peningkatan jumlah penerima bantuan zakat MAIWP,” katanya.

Kutipan keseluruhan zakat harta dan fitrah di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM1.133 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding RM1.031 bilion pada 2023.

Jumlah pembayar zakat pada tahun 2024 juga meningkat sebanyak dua peratus kepada 1,864,703 orang berbanding 1,835,902 orang pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Mohd Na’im menekankan kepentingan integriti dalam pengurusan dana zakat serta mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kelulusan dan pengagihan agar sentiasa sedar bahawa dana zakat adalah amanah besar.

“Kalau terfikir dalam fikiran kita untuk memanipulasi dengan apa cara sekalipun, kita tidak akan selamat.

“Satu sen pun duit zakat kalau masuk ke poket kita, itu membawa bala. Kita kena sayang diri sendiri, suami dan anak-anak di rumah kerana sekiranya dana zakat disalahgunakan, musibah boleh menimpa mereka juga," katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak yang diberi kuasa, sama ada pegawai atasan atau yang terlibat dalam agihan zakat agar memastikan bantuan zakat sampai sepenuhnya kepada golongan asnaf.

“Pesan saya, 100 peratus wajib sampai kepada pemilik sebenar. Pemilik sebenar dana zakat ini adalah rakyat yang tergolong dalam lapan kategori yang telah disebutkan,” ujarnya.

Lapan kategori itu adalah golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan dalam bentuk Skim-Skim Bantuan Zakat, Al-Wakalah, Institusi Pendidikan dan Kebajikan, Prasarana Umat Islam, Perbelanjaan Penyelenggaraan Prasarana dan Amil di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Dalam masa sama, Mohd Na’im turut memuji usaha kreatif yang dilakukan PPZ-MAIWP untuk meningkatkan kutipan zakat, termasuk memperkenalkan saluran baharu seperti pelaburan kripto dan dalam talian.

“Kita harapkan dengan adanya saluran baharu ini, insya-Allah kutipan zakat pada tahun 2025 akan terus meningkat,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis hari berkenaan ialah Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer serta Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Seri Amrin Awaluddin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan