AM > BERITA

Gelanggang PRK DUN Mahkota Dibuka Esok

13/09/2024 11:01 AM

KLUANG, 13 Sept (Bernama) -- Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan dibuka secara rasmi esok dengan bermulanya proses penamaan calon bagi PRK itu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

Setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid.

Penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu dan pihak yang bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen, bermula daripada pengisytiharan calon bertanding hingga 11.59 malam 27 Sept ini.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada PRK itu manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Hari undi awal akan berlangsung pada 24 Sept melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran manakala 28 Sept sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut meramalkan cuaca di Kluang adalah baik sepanjang hari esok dengan suhu antara 23 hingga 33 darjah Celsius. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya sebelum ini, Allahyarham menang dengan majoriti 5,166 undi pada persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. 

PRK ini ialah yang ke-10 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Sebelum ini, PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) telah berlangsung diikuti PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai di Johor, PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK Nenggiri (Kelantan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan