AM > BERITA

KPM Setuju 10 Tuntutan Dikemukakan Kerajaan Sarawak Bagi Perkukuh Pendidikan

13/09/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju sepenuhnya dengan 10 tuntutan dikemukakan kerajaan negeri Sarawak menerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) dalam usaha memperkukuhkan pendidikan di Sarawak.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antaranya usaha mengukuhkan penglibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). 

Selain itu, pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan dan keutamaan serta penglibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan.

“KPM turut bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selain KPM kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu..

Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak telah diadakan pada Februari lalu manakala Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah pula akan dilangsungkan pada Oktober depan.

KPM memaklumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak.

“Antara perkara yang dibincangkan termasuk keperluan merunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk melantik pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan jawatan sebelum Menteri Pendidikan membuat kelulusan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” menurut kenyataan itu. 

Menurut KPM, langkah kerajaan menubuhkan JTBPP telah membuahkan hasil yang positif.

“ Kementerian Pendidikan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak bekerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua negeri itu dapat terus dipertingkatkan dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63,” jelas KPM.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan