AM > BERITA

Agong, Raja Permaisuri Berangkat Ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

14/09/2024 09:56 AM

PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, hari ini berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada 8.30 pagi disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat helikopter EC725A, Agusta 109 dan Fennec milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril dari Skuadron 10 TUDM.

Kesemua pesawat berkenaan membawa lima bendera iaitu Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), disusuli 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa perbarisan terdiri daripada 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad.

Keadaan cuaca cerah dengan suhu sekitar  sekitar 26 darjah celcius mengiringi perbarisan yang berlangsung hampir sejam itu yang turut menampilkan acara gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya dengan persembahan lagu-lagu patriotik.

Usai pemeriksaan barisan, gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan sekali gus istiadat mengarak lima Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Istiadat diakhiri dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Sultan Ibrahim sekali lagi menerima lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat meninggalkan majlis itu pada 9.25 pagi.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman. 

Istiadat berkenaan diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Istiadat itu merupakan majlis terakhir daripada enam acara yang dijadual berlangsung bermula 2 Jun lepas hingga hari ini, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 3 Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan