AM > BERITA

Pegawai Tolak Opsyen SSPA Tidak Layak Terima Pelarasan Gaji

14/09/2024 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pegawai yang menolak opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak layak untuk menerima pelarasan gaji, yang akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis tahun ini bagi Fasa 1 dan 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mereka yang turut tidak layak menerima pelarasan gaji ialah pegawai yang tidak lagi berkhidmat pada 1 Dis 2024 atau 1 Jan 2026.

Menurut pekeliling itu, pegawai yang layak untuk menerima pelarasan gaji bagi Fasa 1 ialah pegawai yang dilantik sebelum 1 Dis tahun ini dan sedang berkhidmat pada tarikh yang sama atau pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada 1 Dis 2024.

“Bagi Fasa 2 pula, pegawai yang dilantik sebelum 1 Jan 2026 dan sedang berkhidmat pada 1 Jan 2026 atau pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada 1 Jan 2026,” menurut pekeliling yang disiarkan menerusi laman sesawang JPA.

Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus diberikan secara berfasa kepada kumpulan perkhidmatan iaitu pengurusan dan profesional serta pelaksana dengan lapan peratus atau minimum RM240 bagi Fasa 1 manakala tujuh peratus bagi Fasa 2.

Mengenai kaedah dan prinsip pelarasan gaji bagi Fasa 1, pekeliling itu memaklumkan pegawai dengan gaji RM3,000 ke atas diberi pelarasan gaji sebanyak lapan peratus atau pegawai dengan gaji RM3,000 dan ke bawah diberi pelarasan gaji sebanyak RM240.

“Sekiranya gaji pegawai setelah diberi pelarasan gaji adalah di bawah daripada Gaji Permulaan Terendah (GPT) atau gaji permulaan skim perkhidmatan di bawah SSPA, gaji pegawai akan dipindahkan ke amaun GPT atau gaji permulaan skim perkhidmatan tersebut.

Bagi pegawai yang menerima opsyen SSPA tetapi belum memenuhi syarat pertukaran pelantikan di bawah SSPA, gaji pegawai adalah tertakluk kepada struktur gaji yang berkuat kuasa di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM).

“Selain itu, gaji pegawai akan dipindahkan berdasarkan skim perkhidmatan dan struktur gaji di bawah SSPA, sehari selepas pegawai memenuhi syarat pertukaran pelantikan di bawah SSPA,” menurut pekeliling itu.

Pemberian pelarasan gaji bagi Fasa 2 SSPA adalah berdasarkan gaji hakiki pegawai pada 31 Dis 2025 ditambah dengan kadar tujuh peratus pada 1 Jan 2026.

“Pegawai yang tarikh pergerakan gajinya adalah pada 1 Jan 2026, pelarasan gaji hendaklah diberi terlebih dahulu dan seterusnya diberi Pergerakan Gaji Tahunan (PGT), tertakluk kepada keputusan Panel Pembangunan Sumber Manusia.

Sementara itu, pekeliling berkenaan menggariskan dua pemberian kemudahan baharu di bawah SSPA bagi memelihara kesejahteraan pegawai dengan mengimbangi kehidupan dan keperluan tugas.

Ia melibatkan pemberian kemudahan vaksin kepada pegawai yang diarahkan oleh ketua jabatan untuk mengambil vaksin atas sebab keperluan perkhidmatan atau keperluan melaksanakan tugas dengan jenis vaksin dan kadar pemberian adalah berdasarkan sokongan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, pewujudan Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok yang lebih fleksibel, dengan bilangan hari maksimum 20 hari setahun kalendar merupakan gabungan 13 CTR sedia ada dengan tujuh CTR baharu.

“Pegawai boleh mengambil mana-mana jenis CTR Kelompok mengikut syarat yang ditetapkan dan mengatur bilangan hari CTR yang diambil mengikut keperluan pegawai tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan,” menurut pekeliling tersebut.

Untuk makluman lanjut, boleh layari https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan