AM > BERITA

SUKA Perlis 2024 Platform Terbaik Bantu Tingkatkan Personaliti Mahasiswa

14/09/2024 07:17 PM

ARAU, 14 Sept (Bernama) -- Program Siswa Universiti Komuniti MADANI@Perlis (SUKA Perlis) 2024 merupakan platform terbaik untuk membantu meningkatkan personaliti mahasiswa dengan pelbagai kemahiran dan keupayaan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata personaliti mahasiswa dapat ditingkatkan melalui pengurusan acara, membina empati, kemahiran komunikasi lebih baik, kepimpinan, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya tempatan dan kemampuan penyelesaian masalah.

“Keseluruhannya, pendekatan SUKA Perlis 2024 ini dapat memberi impak positif kepada perkembangan masyarakat dan ekonomi.

“Sebagai contoh, aktiviti komprehensif pemindahan ilmu kepada golongan belia B40 melalui ilmu dan amali berkaitan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) seperti pendawaian elektrik, penukaran minyak motor, pemasangan solar dan beberapa yang lain,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di UniMAP di sini hari ini.

Zaliman berkata ia juga antara lain akan memberikan mereka pengalaman bagi memulakan kerja-kerja yang boleh menampung keperluan harian seperti Bengkel Bergerak atau Service on Wheel (SoW).

Beliau berkata SUKA Perlis 2024 yang bermula dari 11 hingga 16 Sept itu melibatkan penyertaan lebih 300 mahasiswa dari 21 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara selain turut dihadiri mahasiswa institusi Thailand seperti Prince of Songkhla University, Thaksin University dan Rajabhat University.

“Program SUKA Perlis ini dilaksanakan di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra (di Arau) dan enam kampung di Perlis melibatkan tiga Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau. Para peserta akan ditempatkan di setiap enam kampung ini untuk menjalankan aktiviti bersama-sama orang kampung di sana.” katanya.

Zaliman berkata program SUKA Perlis itu juga bertepatan dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memacu ke arah Malaysia MADANI berteraskan enam nilai utama iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan