AM > BERITA

Penduduk Pulau Di Tumpat Dapat Manfaat Penyeragaman Harga - KPDN

14/09/2024 06:36 PM

TUMPAT, 14 Sept (Bernama) -- Kira-kira 4,000 penduduk kawasan pedalaman di Pulau Suri, Pulau Renjuna, Pulau Tokang dan Pulau Sri Tanjung di sini hari ini mendapat manfaat pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Perlu. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata program itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup penduduk di kawasan berkenaan.

"Di empat Point Of Sale (POS) di empat pulau berkenaan penduduk akan menikmati harga keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan gas petroleum cecair serta petrol RON95 secara bersubsidi.

“Di sini harga tidak lagi mahal kerana barang dibekalkan penghantar (transporter) yang mendapatkan barang daripada pembekal, menguruskan punca bekalan dan seterusnya menghantar serta menjual bekalan di POS,” katanya.

Beliau berkata POS seterusnya akan menjual bekalan berkenaan pada harga ditetapkan dan kerajaan akan menanggung kos pengangkutan penghantar. 

Azman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Penyeragaman Harga Barang Perlu, LPG dan Community Drumming Zin Tumpat di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, KPDN Kelantan sudah menjalankan program sama di Dabong dan Pasir Kelang, Kuala Krai yang memberikan kelegaan kepada 10,000 penduduk di Pasir Kelang Baru, Pasir Kelang Lama, Kampung Takul, Estate Takul, Kampung Buyong dan Kampung Bahagia.

 “Sebelum ini, mereka mendapatkan barang keperluan asas pada harga lebih tinggi kerana kos pengangkutan yang dikenakan.

“Hingga April 2025 kita jangka program ini akan diteruskan bagi manfaat  kepada penduduk di pedalaman,“ katanya.

Azman berkata menerusi program penyeragaman harga itu penduduk pedalaman mampu menikmati barang keperluan asas sama seperti harga barang bersubsidi di bandar tanpa perlu menyeberangi sungai.

Dalam perkembangan sama, KPDN turut mengadakan Program Jualan Rahmah MADANI bergerak di Pulau Sri Tanjung melibatkan 37 jenis barang keperluan asas dengan pengurangan harga 30 peratus berbanding harga pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan