AM > BERITA

Harga Runcit RON95 Kekal, RON97 Naik Tiga Sen

01/01/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Harga runcit RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter, manakala harga RON97 meningkat tiga sen seliter daripada RM3.25 kepada RM3.28 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 Jan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter, manakala di Semenanjung Malaysia naik sebanyak tiga sen seliter daripada RM2.95 kepada RM2.98 seliter bagi tempoh sama.

“Seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.28 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM2.98 seliter.

“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan harga itu ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kenyataan itu memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan