AM > BERITA

NADI Mampu Tingkatkan Pendapatan Penduduk Setempat Di Mesapol

15/09/2024 05:37 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

SIPITANG, 15 Sept (Bernama) -- Penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Mesapol di sini mampu meningkatkan taraf hidup penduduk melalui penganjuran pelbagai aktiviti di pusat berkenaan.

NADI Mesapol yang ditubuhkan pada Ogos tahun lepas kini memiliki 475 ahli berdaftar dengan 30 usahawan berjaya dibantu.

Usahawan Siti Zuriadah Mohd Shahrey, 42, dari Kampung Sikim Sindumin berkata selepas menyertai NADI pendapatannya sekeluarga meningkat antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan.

Sejak menyertainya dua tahun lepas beliau sudah celik mengenai teknologi maklumat selain mempelajari proses pembuatan produk hasil keluarannya.

"Antara produk yang saya hasilkan ialah satay ikan, keropok ubi kayu, keropok pucuk ubi, dan kek lapis serta kuih kelupis sejuk beku," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat NADI Mesapol selain bertemu petugas dan usahawan di pusat berkenaan.

Afnizah Bungsu, 37, ibu kepada dua cahaya mata turut mengakui NADI telah membantunya mengembangkan lagi perniagaan gubahan kraf tangan yang diusahakan sejak 15 tahun lepas. 

Usahawan dari Kampung Kuala Mengalong itu berkata melalui NADI yang disertai secara suka-suka akhirnya memberikannya kemahiran untuk mengubah bunga, membuat hamper dan hantaran nikah serta perkahwinan.

"Mulanya saya ikut NADI untuk santai-santai tetapi lama-kelamaan banyak saya dapat belajar mengenai digital dan menaik taraf perniagaan kraf tangan saya," katanya.

Anirah Tedan, 35, berkata selepas menyertai NADI, permintaan terhadap sambal ikan masin, kerepek pisang masin dan kudapan yang dihasilkannya bertambah sekali gus meningkatkan pendapatannya hingga mencecah RM3,000 sebulan.

Produk lain yang dihasilkan ialah sambal udang kering dan ikan bilis serta kerepek popia keju dan coklat.

"Saya terlibat dengan NADI baru dua tahun, pada mulanya saya ikut kawan tapi tidak sangka menjadi usahawan NADI," katanya yang juga ikon NADI Kampung Lawa, Beaufort.

Pengurus NADI Mesapol Zuhair Calvin Ng Mohd Firdaus berkata NADI Mesapol memberi manfaat kepada lebih 1,500 penduduk dari 14 kampung dan menyasarkan 250 pendaftaran ahli baharu pada tahun ini.

"NADI Mesapol membantu ramai penduduk melalui program disediakan di pusat NADI menerusi perkhidmatan pintar terdiri lima teras termasuk keusahawanan dan kemahiran.

"Ramai komuniti berminat untuk menjadi usahawan, buat masa ini terdapat 30 usahawan di bawah NADI Mesapol dan dua daripadanya usahawan terbaik kerana memperoleh pendapatan berlipat ganda iaitu tiga hingga lima kali ganda dengan bantuan NADI Mesapol," katanya.

NADI Mesapol turut mengadakan aktiviti termasuk robotik, saringan kesihatan, e-sukan, eKelas Usahawan dan eKelas Pelajar. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan