AM > BERITA

Projek Mega Sektor Pertanian Bakal Merevolusi Industri Padi Dan Beras - Bernas

15/09/2024 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Peruntukan RM5 bilion bagi usaha mentransformasi sektor pertanian bakal merevolusi serta merancakkan lagi industri padi dan beras negara dengan meningkatkan pengeluaran beras tempatan sekali gus menaik taraf hidup pesawah.

Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu juga bakal merancakkan pertumbuhan dan penggunaan teknologi baharu yang dapat menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.

“Pengumuman ini merupakan satu langkah yang bertepatan dan seiiring dengan usaha Bernas sebagai syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dalam memajukan industri padi dan beras tempatan negara,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 mengumumkan kerajaan merancang beberapa projek mega dalam sektor pertanian termasuk projek raksasa tanaman padi fasa pertama dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM5 bilion.

Kenyataan itu menyebut Bernas melalui program SMART SBB telah mula mengadaptasikan penggunaan Internet Benda (IoT) dan mekanisasi moden selari dengan usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memacu produktiviti padi negara.

Bernas juga sedang membangunkan sistem pengurusan perladangan bagi memantau sawah berskala besar dengan lebih efisien yang turut dibantu dengan sistem pengesanan awal penyakit dan serangan padi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan