AM > BERITA

Zahid Ucap Tahniah Kontinjen WSC 2024 Capai Kemenangan Cemerlang

16/09/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan meraih satu pingat gangsa dan empat Medallion for Excellence pada pertandingan WorldSkills (WSC 2024) di Lyon, Perancis sejak 10 Sept lepas.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Zahid menyifatkan kemenangan mereka itu sebagai hadiah yang bermakna buat negara sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

“Syabas saya ucapkan kepada semua! Anda telah memperlihatkan kehebatan bakat TVET negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Peserta kategori Beauty Therapy, Wong Hsun Wei meraih pingat gangsa dan dinobatkan Best Of Nation pada acara penutup WSC 2024 yang diadakan di Groupama Stadium pada Ahad.

Empat belia yang meraih Medallion for Excellence adalah Muhammad Nasran Ahmad bagi kategori dandanan rambut dan Ahmad Muizuddin Mohd Razi bagi kategori Bricklaying.

Dua lagi wakil Malaysia, Muhammad Hakimi Abu Bakar bagi kategori Pemasangan Elektrik dan Stephen Sim Shan Siong menerusi kategori Penyelesaian Perisian Teknologi Maklumat (IT) untuk Perniagaan.

WSC 2024 yang berlangsung dari 10 hingga 15 Sept menghimpunkan 1,400 pesaing dari lebih 70 negara dan wilayah, bertanding dalam 62 kategori kemahiran.

Secara keseluruhan, Malaysia mempertaruhkan 15 belia berkemahiran tinggi dalam 14 kategori termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan