AM > BERITA

Program MADANI Sarawak Dijangka Tarik 100,000 Pengunjung

17/09/2024 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) Sarawakku Sayang di Miri pada 27 hingga 29 Sept ini dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung melalui pelbagai program dianjurkan.

Ketua Penyelaras PMR 2024 Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata tarikan itu termasuk lebih 2,000 peluang pekerjaan disediakan oleh 20 syarikat besar melalui Karnival Kerjaya.

“Di sesetengah tempat seperti edisi Pulau Pinang dan Kuantan (Pahang), ada 400 hingga 500 orang yang memohon telah menerima surat tawaran kerja sebaik selesai ditemuduga pada hari berkenaan.

“Kita berharap inisiatif ini dapat membantu mereka menambah pendapatan keluarga untuk tempoh yang lama,” katanya menerusi temu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Selain itu, Mohd Zainuddin berkata program dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan kerajaan negeri Sarawak itu turut menyediakan lebih 200 perkhidmatan langsung kepada rakyat.

Perkhidmatan yang ditawarkan antaranya semakan kelayakan memohon Geran Agropreneur Muda, yang menyediakan latihan dan bantuan kewangan untuk menjalankan perniagaan berasaskan pertanian serta industri makanan dan asas tani.

“Di peringkat kerajaan Sarawak pula, bantuan sewa rumah kepada anak muda yang berhijrah dari kawasan pedalaman ke bandar besar turut diberikan dengan amaun hingga RM200 sebulan bagi membantu mereka menangani kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zainuddin juga berkata Jualan MADANI akan diteruskan dengan potongan harga hingga 30 peratus selain pemberian pengurangan kadar saman trafik hingga 50 peratus dan penukaran 5,000 topi kaledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Beliau berkata untuk kemudahan pengunjung, perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan dari Stadium Miri ke tapak PMR dengan kekerapan setiap 20 hingga 30 minit.

Beliau berkata kemuncak acara ialah majlis perasmian program yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Sept, bermula 2.30 hingga 4.30 petang.

“Kita harap pengujung dapat merancang perjalanan sebaik mungkin sepanjang program dan menjaga kesihatan mereka memandangkan cuaca di Miri agak panas,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan