AM > BERITA

MITRA Buka Permohonan Geran PPSMI 2025 Bermula 15 Okt Ini

17/09/2024 03:55 PM

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan membuka permohonan geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) 2025 bermula 15 Okt hingga 14 Nov ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran, menyeru pemegang taruh serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk memanfaatkan peluang ini dengan memohon geran tersebut.

Beliau berkata MITRA komited untuk melaksanakan pelbagai program dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat India, dengan tumpuan khas kepada golongan B40.

P. Prabakaran berkata sebanyak RM95.4 juta daripada peruntukan RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini kepada MITRA telah dimanfaatkan untuk pelbagai program dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat India, manakala baki RM4.6 juta telah disalurkan untuk perancangan program bagi mengangkat masyarakat itu.

"Cabaran MITRA adalah kekurangan dana. Setiap tahun, RM60 juta (disalurkan) untuk kebajikan masyarakat India. Melaksanakan transformasi masyarakat India terutama golongan B40 (berpendapatan rendah) agak sukar sebab kekurangan dana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi libat urus Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) bersama wakil-wakil rakyat berbangsa India seluruh negara, di sini hari ini.

Prabakaran turut menjelaskan bahawa peruntukan RM100 juta daripada kerajaan untuk membantu dua juta masyarakat India, di mana 700,000 daripadanya tergolong dalam golongan B40, memerlukan pengurusan yang teliti.

MITRA juga memohon dana tambahan bagi meningkatkan peluang pekerjaan melalui program seperti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta memperbaiki kualiti hidup masyarakat India, terutama golongan belia.

Pada Ogos lepas, Prabakaran dilaporkan telah mengemukakan permohonan agar peruntukan untuk masyarakat India dinaikkan kepada RM300 juta dalam Belanjawan 2025, berbanding RM100 juta yang diterima ketika ini.

Beliau menegaskan bahawa MITRA akan memastikan proses pengagihan dana dijalankan dengan telus dan mematuhi prinsip tatakelola yang baik.

Selain itu, Program Bantuan Awal Kemasukan Institut Pengajian Tinggi 4.0 bagi tahun akademik 2024/2025 akan dibuka mulai 12 tengah hari esok sehingga 5 petang pada 17 Okt. Semua pelajar peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Tahun 1 dan 2, termasuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) daripada keluarga B40, disarankan untuk memohon bantuan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan