AM > BERITA

Ombak Besar Di Pulau Pinang Dan Pulau Pangkor Kejadian Luar Biasa - MetMalaysia

18/09/2024 06:34 PM

Oleh Rozainah Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Kejadian ombak besar yang berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Pulau Pangkor, Perak semalam adalah luar biasa, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata situasi itu terjadi kerana kehadiran bersekali fenomena air pasang besar disebabkan oleh keadaan perigee iaitu kedudukan bulan hampir dengan bumi dan bulan penuh serta angin barat yang bertiup kencang.

“Hujan berterusan serta keadaan laut bergelora yang berlaku di utara Semenanjung disebabkan angin barat yang bertiup kencang dan bertumpu di kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata METMalaysia telah menjangka lebih awal keadaan terbabit dengan mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora di perairan Selat Melaka Utara dan Phuket, Thailand pada 12 Sept bagi tempoh kuat kuasa bermula Ahad lepas hingga hari ini.

Mohd Hisham berkata amaran itu telah dikemas kini semalam dengan tempoh kuat kuasa dilanjutkan hingga Sabtu ini.

“Selain itu, METMalaysia juga telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (WASPADA) pada 13 Sept bagi tempoh kuat kuasa bermula 15 hingga 19 Sept di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak bagi kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar,” katanya.

Justeru, katanya orang awam diminta supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dengan melayari laman web serta media sosial METMalaysia.

Semalam, tular beberapa kejadian fenomena ombak besar yang melanda kawasan antaranya pesisir Pulau Pinang terutama di sekitar Pantai Bersih di Butterworth.

Klip video yang dirakam peniaga di kawasan Pantai Bersih dan di R&R Bagan Ajam serta menularkannya di media sosial itu memaparkan ombak yang memasuki premis perniagaan sehingga menyebabkan kerosakan peralatan perniagaan, namun tiada kecederaan berlaku.

Selain Pantai Bersih dan R&R Bagan Ajam yang popular dalam kalangan penduduk untuk bersantai pada waktu malam, beberapa lokasi seperti Padang Kota atau dikenali sebagai Esplanade turut terjejas apabila air laut melimpah masuk hingga medan selera Medan Renong.

Menerusi video tular, kelihatan pelanggan di medan selera itu bertempiaran lari menyelamatkan diri dan barangan mereka daripada basah manakala peniaga bergegas menyelamatkan barangan perniagaan.

Turut tular ialah beberapa video menunjukkan ombak besar dan bergelora di Pulau Pangkor termasuk di Teluk Nipah, Perak.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan