AM > BERITA

Alumni Al-Azhar Perlu Main Peranan Promosi Islam - Zulkifli Hasan

18/09/2024 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Alumni Universiti Al-Azhar Al-Sharif berperanan memimpin masyarakat Muslim di seluruh dunia untuk mempromosikan Islam yang aman, rahmah dan damai, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata ini bagi menangani gejala Islamofobia yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini terutama di negara yang mempunyai jumlah penganut Islam minoriti.

“Saya berpeluang bertemu pimpinan Islam di United Kingdom. Antara kegelisahan mereka adalah isu Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara-negara Islam minoriti mahupun di negara lain.

“Ini merupakan fenomena baharu yang begitu mendalam dan memerlukan kerangka baharu yang boleh kita tangani bersama.

“Saya berpandangan Universiti Al-Azhar Al-Sharif dan para alumninya di serata dunia mampu menjadi pemimpin masyarakat Muslim di seluruh dunia untuk mempromosikan Islam seperti yang diperlihatkan oleh Rasulullah,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa MADANI Ummatan Wasata Peneraju Keharmonian, Pembangunan dan Keamanan Global anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di sini hari ini.

Universiti Al-Azhar Al-Sharif, yang terletak di Kaherah, Mesir adalah institusi pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia.

Ditubuhkan pada tahun 970 Masihi, universiti berkenaan pada asalnya berfungsi sebagai pusat pengajian agama Islam dan syariah serta penyebaran ajaran Islam yang berdasarkan prinsip-prinsip wasatiyyah (kesederhanaan).

Zulkifli berkata konsep wasatiyyah yang dibawa oleh universiti berkenaan adalah obor yang membawa kepada keamanan untuk seluruh umat tanpa mengira agama, bangsa dan adat budaya.

Beliau juga berkata sebarang tindakan untuk menguatkuasakan fatwa terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) perlu melalui proses libat urus dengan pihak berkaitan seperti pihak berkuasa agama.

“Apa-apa keputusan mestilah melalui proses libat urus dengan pihak-pihak berkaitan. Kita tidak boleh melangkau daripada pihak seperti ini supaya kita mendapat satu keputusan yang tuntas yang mendapat legitimasi daripada semua pihak berwajib,” katanya.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa semalam menggesa pihak berkuasa agama setiap negeri menguatkuasakan fatwa yang dikeluarkan pada 1994 supaya pengikut Al-Arqam kembali ke pangkal jalan sepertimana yang diajarkan oleh syariat Islam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan