AM > BERITA

PM Sedia Isytihar Harta Pada Bila-bila Masa

26/09/2024 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau sedia untuk mengisytiharkan harta pada bila-bila masa.

“Saya, kalau ada (pihak) minta esok (isytihar) harta, esok juga saya buat, koreklah banyak mana pun... baru boleh jadi pemimpin, jadi contoh. Jika tidak, apa yang kita nak ajar kepada rakyat kerana antara cara untuk angkat darjat Islam itu ialah dengan tatakelola yang baik.

“Ini (ada pihak) apabila suruh isytihar harta marah, (cakap kerana) dendam, apa dendam? Kalau kamu tak salah, buat apa takut isytihar harta?” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Taman Alam Sutera di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pengisytiharan harta, yang merupakan antara syarat terkandung dalam Memorandum Persefahaman berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, hanya perlu dilakukan apabila melibatkan anggota pentadbiran seperti diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

Anwar juga berkata kerajaan pimpinannya sedang berperang dengan rasuah dan penyelewengan.

“Ada pihak bicara soal Melayu, agama dan Islam tapi sebenarnya rompak hasil dan kekayaan negara. Saya tidak mahu hal ini berlaku, saya tidak maksud dah berlaku di sini.

“Dalam keadaan kita semak hampir setiap kontrak, ada sahaja bocornya, ada sahaja hilang dananya. Negara mana mampu maju kalau tiap kali ada tiris dan ia bukan sedikit, ratusan juta dan bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan