AM > BERITA

Mpox: Pesakit Sihat Dan Stabil, Akan Ditamatkan Tempoh Isolasi - Dr Dzulkefly

28/09/2024 12:21 PM

PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Seorang pesakit yang disahkan positif cacar monyet atau mpox varian clade II pada 16 Sept lepas kini semakin sihat dan berada dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata individu itu menunjukkan perkembangan positif dan dalam proses menamatkan tempoh isolasi selepas disahkan positif mpox pada 16 Sept lepas. 

“Pesakit kini dalam tempoh pengasingan (isolasi), keadaannya stabil dan sihat. Kita (Kementerian Kesihatan) akan tamatkan tempoh isolasi beliau. Kita akan beritahu (tempoh isolasi tamat),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0, 1 Hour Malaysia Clean Up  dan Hari Cuci Malaysia di sini hari ini.

Pada 17 Sept lepas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata KKM telah mengesan satu kes positif mpox varian clade II pada 16 Sept, yang dikesan daripada 58 kes disyaki mpox yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tahun ini.

Dr Dzulkefly berkata tiada kes baharu mpox dalam negara direkodkan setakat ini, dan berhubung vaksin penyakit itu pula, pihaknya sedang menunggu ketibaan bekalan vaksin MVA-BN, yang dikhususkan kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk petugas kesihatan serta kontak rapat kes yang disahkan.

Sementara itu merujuk kepada pembiakan Aedes di negara ini Dr Dzulkefly berkata perubahan iklim menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi pembiakan nyamuk itu, dengan proses pembiakannya menjadi sangat aktif apabila berlaku perubahan iklim, kerana terdapat perubahan suhu ketara.

Semalam KKM melaporkan keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam penularan demam denggi kerana ia mempengaruhi habitat dan kelangsungan hidup nyamuk Aedes Aegypti, dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan fasa peralihan monsun bermula pada 24 Sept lepas dan dijangka berterusan sehingga bulan November ini.

Sehingga Minggu Epidemologi ke-38 (ME38) iaitu bagi tempoh 15 Sept hingga 21 Sept lepas, KKM melaporkan terdapat 1,514 kes demam denggi dengan dua kematian direkodkan akibat komplikasi demam denggi.

Merujuk kepada data tersebut, Dr Dzulkefly berkata KKM akan memperkasakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi melalui pejabat kesihatan daerah, klinik kesihatan dan pasukan sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI).

Antara aktiviti yang dijalankan KKM adalah pemantauan kawalan vektor, pemeriksaan tempat pembiakan Aedes dan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan