AM > BERITA

Saya Lihat Mereka Terkapai-kapai Sebelum Hilang Dibawa Arus - Saksi

28/09/2024 02:17 PM

KUALA NERANG, 28 Sept (Bernama) -- “Saya lihat mereka terkapai-kapai dalam arus deras, saya dan beberapa penduduk kampung panggil mereka, namun mereka tidak menyahut.. selepas itu mereka hilang dibawa arus,” kata seorang saksi kejadian dua beranak dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Tanjung Kiri dekat sini, pagi tadi.

Mohd Sofi Rhazalee, 39, berkata beliau menyaksikan sendiri detik cemas semasa ibu tunggal Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya Muhammad Rosman Rohadi, 19, dihanyutkan arus deras.

“Saya baru pulang dari kedai selepas beli sarapan semasa kejadian, saya nampak kedua-duanya sedang berpaut di pokok getah ketika cuba meredah arus deras banjir.

“Saya menjerit minta mereka berpatah balik, namun ibunya yang berpaut pada pokok getah itu tiba-tiba terlepas, dan anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam cuba menarik ibunya.

“Selepas itu mereka terkapai-kapai.. saya dan penduduk yang berada di situ cuba memanggil mereka namun tak ada tindak balas dan hilang terus dibawa arus,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjung Kiri di sini hari ini.

Sementara itu seorang lagi saksi kejadian Mohd Amir Mohd Sougelail, 28, berkata beliau serta beberapa penduduk kampung sudah memanggil dua beranak itu dan memberi amaran supaya jangan meredah banjir sebab arus deras, namun mereka tetap teruskan perjalanan.

"Saya nampak wanita itu berpaut pada pokok getah sebelum anaknya berpatah balik untuk ambil ibunya sebelum kedua-duanya hanyut…air sangat deras kerana terletak berdekatan Sungai Padang Terap yang melimpah akibat hujan lebat pada malam tadi,” katanya.

Sementara itu operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa masih berjalan melibatkan anggota dan pegawai daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan