AM > BERITA

Pelihara Sumber Hasil Sungai Perak Demi Kelangsungan Ekonomi - MB

28/09/2024 06:24 PM

TELUK INTAN, 28 Sept (Bernama) -- Sumber hasil sungai adalah kekayaan yang perlu dipelihara untuk memastikan kelangsungan ekonomi penduduk setempat, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata pemuliharaan Sungai Perak merupakan satu keutamaan selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bukan sahaja menekankan pembangunan ekonomi tetapi juga menjaga kelestarian alam sekitar.

"Hilir Perak merupakan kawasan utama bagi aktiviti akuakultur dengan pendaratan hasil sungai sebanyak 296.447 tan metrik bernilai RM6.8 juta sehingga Julai 2024. Selain itu, daerah ini juga merupakan pembekal utama ternakan ikan sangkar dengan rekod sebanyak 1,326.9 tan metrik yang bernilai RM22.5 juta setahun,” katanya pada Program Perarakan Bot Berhias Perak Sejahtera 2030 sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Hilir Perak 2024. 

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Saarani berkata pelaksanaan Zon Akuakultur Sungai Perak, khususnya di daerah Hilir Perak adalah salah satu usaha penting yang telah dikenal pasti di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030. 

Bagi memastikan kelestarian Sungai Perak, usaha pemuliharaan dilaksanakan dengan lebih serius agar tiada pencemaran air, pembuangan sampah yang tidak terkawal, dan pembangunan tidak terancang, kata beliau lagi.

Sementara itu, hampir 60 bot berhias menyertai perarakan berkenaan di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Terengganu di sini.

Program tahunan itu mendapat penyertaan menggalakkan daripada agensi kerajaan, pengusaha pelancongan dan komuniti nelayan darat yang menghias bot mereka dengan Jalur Gemilang.

Aktiviti itu merupakan tradisi tahunan penuh warna-warni dan bagi menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan serta dimasukkan dalam acara sambutan bersempena Hari Malaysia setiap tahun.

Program itu juga adalah satu inisiatif melambangkan sinergi antara pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan