AM > BERITA

LZS Perkenal Inisiatif Radiuz, Tarik Masyarakat Bayar Zakat

28/09/2024 06:13 PM

SHAH ALAM, 28 Sept (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Rakan Affiliate Dakwah Kutipan Zakat (Radiuz) sebagai inisiatif menggalakkan dan menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk membayar zakat.

Ketua Divisyen Kutipan Muhd Fikri Naim Harun berkata terdapat satu juta rakyat di Selangor berumur 25 tahun dan ke atas didapati belum membuat bayaran zakat di LZS.

Beliau berkata inisiatif itu yang akan bermula Oktober ini, menyaksikan Radiuz berdaftar dengan LZS ditawarkan upah satu peratus bagi setiap pembayaran zakat yang dibuat menerusi platform tersebut.

"Kalau ikut kemampuan LZS yang mempunyai 650 kakitangan, kita tidak mampu pergi kepada satu juta (pembayar zakat) tersebut, jadi kami memerlukan Radiuz mempromosikan dakwah zakat kepada masyarakat.

"Setakat ini sudah ada pempengaruh menjadi Radiuz antaranya Financial Faiz, PU Amin serta beberapa yang lain yang mana mereka boleh menjadi pencetus kepada lebih ramai orang, khususnya generasi muda menyertai Radiuz," katanya ketika ditemui pada pelancaran Karnival Zakat Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam di sini.

Pelancaran karnival yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Raja Tan Sri Arshad Raja Uda Alhaj.

Muhd Fikri Naim berkata Radiuz terbuka kepada semua anggota masyarakat berusia 18 tahun ke atas khususnya dalam kalangan mahasiswa dan mereka yang mendaftar akan disaring bagi memastikan bebas daripada sebarang kes jenayah serta rasuah.

Beliau berkata proses tapisan turut melibatkan Jabatan Syariah dan Dakwah bagi mengelak pemilihan Radiuz dalam kalangan mereka yang mempunyai fahaman, pegangan dan kecenderungan berbeza daripada ajaran Islam sebenar.

"Sebagai bakal duta kepada LZS, Radiuz mestilah memiliki imej serta pembawaan diri dan sahsiah yang bersesuaian sebelum mereka yang dipilih diberikan 'Link Radiuz' dan panduan mengenai bagaimana mempromosikan zakat dengan konten disediakan oleh pihak LZS," katanya.

Muhd Fikri Naim berkata sempena karnival itu, LZS turut melancarkan inisiatif CrowdZakat yang merupakan model zakat melalui pengelasan bantuan asnaf disediakan kepada pembayar zakat secara dalam talian.

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, pembayar boleh membuat pilihan jenis bantuan yang ingin disalurkan menerusi informasi di laman sesawang LZS sebelum membuat bayaran berdasarkan kecenderungan serta keprihatinan masing-masing.

"Mungkin ada pembayar lebih cenderung kepada membantu dalam aspek pendidikan atau perubatan berbanding kepada asnaf…dan CrowdZakat menyediakan platform untuk mereka pilih, tentukan amaun dan bayar zakat mengikut kecenderungan masing-masing.

"Tujuan inisiatif ini diperkenalkan antara lain kerana mahu orang ramai tahu ke mana wang zakat diagihkan dan memberitahu jumlah zakat diperlukan untuk membantu asnaf di Selangor," katanya.

Berhubung karnival, Muhd Fikri Naim berkata program selama dua hari yang julung kali dianjurkan itu menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian bermanfaat, antaranya lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Karnival iKerjaya daripada 30 syarikat yang mengambil bahagian.

Kaunter bancian asnaf dan semakan bantuan serta perkhidmatan taksir dan bayar zakat turut disediakan selain kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun tunggakan saman sehingga 30 peratus.

Pada majlis sama, tiga syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan iaitu GAS Malaysia Berhad berjumlah RM900,000 dan MSC Trustgate.com Sdn Bhd serta Risda Agro Sdn Bhd masing-masing berjumlah RM210,000 dan RM60,000.

LZS turut menyampaikan bantuan zakat RM1.5 juta kepada 11 penerima meliputi rumah kebajikan, pendidikan khas, perubatan, baik pulih rumah dan institusi agama serta sumbangan peralatan kepada institusi agama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan