AM > BERITA

N.Sembilan Sasar Semua Tabika Kemas Wujudkan Kelas Pra-Tahfiz

30/09/2024 05:50 PM

SEREMBAN, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kesemua 471 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri ini mewujudkan kokurikulum atau kelas Pra-Tahfiz, tahun hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia bertujuan memperkasakan lagi pendidikan al-Quran dalam kalangan pelajar Tabika Kemas sekali gus mampu melahirkan hufaz cilik.

“Untuk tahun ini, daripada keseluruhan jumlah itu sebanyak 213 Tabika Kemas ada kelas Pra-Tahfiz. Sekarang memang ada ajar mengaji, membaca al-Quran dan sebagainya tapi kita nak pastikan semua Tabika Kemas ini ada kokurikulum hufaz supaya anak-anak boleh belajar menghafaz dengan cepat.

“Ini perkara yang penting sebab kita nak membiasakan mereka dan akhirnya kita dapat melahirkan anak-anak yang minat al-Quran, kesenian Islam dan perkara positif yang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Festival Kesenian Islam dan Karnival Kanak-Kanak Sihat dan Pintar peringkat negeri di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Kemas Rafea’ah Nahar.

Kemas menerusi kenyataan baru-baru ini memaklumkan lebih 62,175 kanak-kanak Tabika Kemas telah mengikuti program Pra-Tahfiz di seluruh negara setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini juga dilaporkan berkata pembelajaran mengenai agama Islam harus ditanam pada awal usia supaya akidah kanak-kanak Muslim tidak lari daripada landasan sebenar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan