AM > BERITA

UTeM Rangkul Anugerah Pengurusan Tenaga Lestari Di AEA 2024

30/09/2024 07:58 PM

MELAKA, 30 Sept (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengharumkan nama negara apabila merangkul Anugerah Pengurusan Tenaga bagi Bangunan dan Industri pada Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2024 di Vientiane, Laos hari ini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata kejayaan itu amat membanggakan apabila UTeM menjadi pilihan utama untuk mewakili Malaysia ke AEA 2024 dan memenangi anugerah tersebut.

"AEA merupakan anjuran Pusat Tenaga ASEAN dengan kerjasama negara anggota ASEAN dan merupakan pengiktirafan tertinggi bagi pencapaian serta amalan terbaik institusi serta organisasi dalam memacu agenda pengurusan tenaga lestari di peringkat serantau. 

"Kejayaan ini dilihat dapat meletakkan UTeM sebagai universiti yang terkehadapan dalam bidang pengurusan tenaga lestari bukan hanya dalam negara malah diiktiraf di Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Massila berkata UTeM juga komited untuk berinovasi dan menjadi peneraju serantau dalam bidang pengurusan tenaga lestari selain terus menyokong agenda pengurusan tenaga lestari pada masa depan sejajar dengan Lima Teras Strategik UTeM 2023-2025 dan agenda negara berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) UTeM Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata kejayaan UTeM itu amat penting bagi tujuan pengukuhan penjenamaan dan kedudukannya sebagai antara pakar rujuk terbaik dalam aspek pengurusan tenaga lestari.

Beliau berkata ia sekali gus membuka peluang lebih luas kepada UTeM untuk menjalin kerjasama strategik dengan organisasi peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa terutama penyelidikan yang berfokus dalam membantu dunia merealisasikan matlamat berkaitan SDG. 

“Kami berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada semua untuk terus memacu UTeM agar turut cemerlang dalam bidang lain sekali gus memantapkan usaha penyerlahan jenama UTeM,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan