AM > BERITA

Pengerusi Bernama Antara Pakar Dilantik Sertai Pasukan Petugas Khas CPI - KP SPRM

01/10/2024 12:34 PM

 PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang ditubuhkan kerajaan pada Mei lepas, dianggotai oleh wakil daripada sembilan kementerian serta beberapa orang pakar luar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pakar luar yang dilantik menjadi anggota kumpulan berkenaan adalah Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ahli Panel Penilaian Operasi Dr Mazlan Ahmad dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Azam berkata turut dilantik menjadi anggota kumpulan yang ditubuhkan bagi mencari jalan meningkatkan kedudukan negara ke dalam 25 negara teratas dalam indeks tersebut dalam tempoh 10 tahun akan datang ialah Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian dan Presiden Transparency International Dr Muhammad Mohan.

Katanya pasukan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu yang telah diluluskan penubuhannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Mei lepas akan dipertanggungjawab kepada Bahagian Perancangan Governans Nasional agensi berkenaan.

“Saya berharap pasukan yang ditubuhkan ini mendapat kerjasama daripada semua pihak agar ia dapat menambah baik strategi pencegahan, pengurusan tatakelola, dan urus tadbir, sekali gus meningkatkan kedudukan negara dalam CPI ke dalam 25 teratas daripada 180 negara,” katanya dalam wawancara khas sempena ulang tahun SPRM ke-57 di pejabatnya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azam berkata SPRM turut mengambil langkah menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam usahanya membanteras rasuah dengan lebih berkesan. Antaranya adalah penubuhan Pasukan Khas Siasatan Jenayah Kewangan oleh Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM, yang turut dianggotai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Audit Negara Malaysia.

Katanya Pasukan Khas Siasatan Jenayah Kewangan juga melibatkan penyertaan Akauntan Negara Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Institut Akauntan Malaysia, Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia, serta Universiti Multimedia Malaysia.

Azam berkata SPRM telah menubuhkan Pasukan Poligraf SPRM bagi memperkasakan keberhasilan siasatan dan menjalin kerjasama dengan American Polygraph Association di mana pegawai SPRM akan menerima pendedahan dan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan pengendalian poligraf.

"Bahagian Forensik Teknologi SPRM juga menjalani latihan secara berkala untuk melakukan forensik, seperti menjejak kewangan dan transaksi pengubahan wang haram. Sejak tahun lepas, kita telah dilantik sebagai peneraju Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD)," katanya.

Menurutnya, KKFD berfungsi sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran, serta amalan terbaik dalam menjalankan siasatan digital. Pasukan ini turut dianggotai oleh agensi lain yang mempunyai makmal forensik digital, termasuk CyberSecurity Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Peguam Negara, serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Azam juga memaklumkan bahawa usaha SPRM untuk menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa dalam membanteras rasuah, terutamanya yang melibatkan kes rentas sempadan seperti 1Malaysia Development Berhad, telah berjaya meningkatkan imej negara di mata dunia. Kini, SPRM lebih mudah untuk mendapatkan kerjasama daripada negara luar.

Beliau berkata banyak negara, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom telah menyatakan komitmen mereka untuk memudahkan SPRM dalam mendapatkan keterangan individu yang berada di luar negara, walaupun negara-negara tersebut mempunyai rangka undang-undang (legal framework) mereka sendiri.

“Dengan adanya kolaborasi antara negara-negara ini, pengurusan isu-isu serta proses siasatan melibatkan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram rentas sempadan, termasuk rakaman keterangan, menjadi lebih mudah. Sebelum ini, adalah agak sukar kerana ketiadaan kolaborasi menyebabkan negara-negara tersebut enggan berkongsi maklumat, tetapi kini situasi itu telah berubah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan