AM > BERITA

Orang Ramai Sambut Baik Kaunter Agensi Kerajaan Di Melaka Beroperasi Waktu Rehat

01/10/2024 07:08 PM

MELAKA, 1 Okt (Bernama) -- Orang ramai menyambut baik inisiatif agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Melaka membuka kaunter khidmat pelanggan pada waktu rehat tengah hari bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan berkaitan terutama pada waktu berkenaan.

Azran Abdul Talip, 54, dari Alai Perdana di sini berkata pendekatan itu bukan sahaja menjadi nilai tambah kepada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dari aspek kualiti penyampaian, tetapi juga memberi pilihan kepada orang ramai berurusan di kaunter terlibat tanpa perlu mengejar masa dan menggunakan waktu kerja.

"Saya setuju dengan inisiatif ini kerana kebanyakan pekerja terutama sektor swasta hanya mempunyai waktu rehat tengah hari untuk membuat urusan lain seperti ke kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Jadi mereka tidak perlu terkejar-kejar atau keluar pada waktu bekerja untuk membuat urusan di kaunter khidmat pelanggan agensi kerajaan atau Persekutuan," kata pekerja swasta berkenaan yang turut membuat urusan berkaitan pengeluaran wang bagi membiayai yuran pengajian anaknya di institusi pengajian tinggi di KWSP Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Azran ditemui pemberita pada lawatan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem di KWSP MITC bagi meninjau pembukaan kaunter khidmat pelanggan pada waktu rehat yang mula berkuat kuasa hari ini.

Tee Huey Wah, 47, dari Cheng berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepadanya untuk membuat urusan menyimpan wang dalam akaun KWSP miliknya tanpa perlu terkejar-kejar.

"Bagus buat macam ini, buka kaunter pada waktu rehat, kita ada banyak masa untuk buat urusan di kaunter... kalau datang lambat sebelum waktu rehat pun tidak perlu risau kena tunggu lama sebab kaunter memang buka," kata suri rumah itu.

Sementara itu, pengunjung yang berurusan di kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Siti Hawa Abdul Hamid, 41, dari Rawang, Selangor berkata sebagai pengusaha spa beliau kadangkala mempunyai kekangan masa untuk berurusan di kaunter kerajaan, justeru inisiatif berkenaan memberi pilihan untuknya menyelesaikan urusan berkaitan.

"Waktu rehat lebih mudah... kita boleh meninggalkan makan tengah hari untuk selesaikan urusan yang perlu," katanya.

Terdahulu, Ngwe berkata usaha akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah portfolionya menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata satu daripada usaha itu ialah membuka kaunter khidmat pelanggan pada waktu rehat seperti yang diarahkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan