AM > BERITA

PAAB Selia Tiga Projek LRA, Ganti Paip Lama Bernilai Lebih RM200 Juta

01/10/2024 10:04 PM

KOTA BHARU, 1 Okt (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kini sedang menyelia pelaksanaan projek bernilai lebih RM273 juta melibatkan lima projek iaitu tiga Loji Rawatan Air (LRA) dan dua projek penggantian paip lama serta uzur di Kelantan.

Lima projek itu ialah pembinaan tiga LRA iaitu LRA Chicha melibatkan 20 Juta Liter Sehari (JLH), LRA Bukit Chupak 10 JLH dan LRA Tanjung Mas 30 JLH manakala dua lagi ialah projek penggantian paip lama atau uzur di Kota Bharu utara dan Kota Bharu selatan sepanjang 113 kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar berkata projek LRA Bukit Chupak dijangka siap pada September 2025, LRA Chicha pada Januari 2026 manakala LRA Tanjung Mas bakal siap pada Ogos 2028. 

"Pembinaan projek LRA berkenaan boleh meningkatkan kapasiti bekalan air di LRA Chicha melibatkan kawasan Pasir Hor dan Kota Seribong manakala LRA Tanjung Mas bagi kawasan Kota Bharu dan LRA Bukit Chupak untuk kawasan Sungai Terah serta bandar lama Gua Musang," katanya kepada pemberita semasa melawat pembinaan LRA Chicha Fasa 2 dan Sistem Agihan di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, dua projek penggantian paip lama dan uzur di Kota Bharu utara dan selatan dijangka siap pada Oktober 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut meluangkan masa meninjau pembinaan LRA Chicha Fasa 2 dan Sistem Agihan di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor.

Anwar turut diberikan taklimat berkaitan perkembangan pembinaan loji berkenaan oleh Zulkiflee. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan