AM > BERITA

Dua Jam Tular, Penuntut Berjaya Masuk UMK Terima Sumbangan Orang Ramai

01/10/2024 10:40 PM

KOTA BHARU, 1 Okt (Bernama) -- Luahan seorang pesara kerajaan M. Chinnakaruppan, 67, melalui aplikasi WhatsApp mengenai kekurangan wang pendaftaran bagi membolehkan anak perempuannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya meraih perhatian.

Chinnakaruppan berkata anak perempuannya Kalaimagal, 20, berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) di universiti itu, namun tidak mempunyai wang mencukupi sebanyak RM3,000 untuk pendaftaran.

"Tangkap layar hantaran saya dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp penduduk kampung yang dimuat naik pada 21 Sept lepas menjadi tular sehingga meraih simpati orang ramai.

"Ada yang melancarkan kutipan sehingga berjaya mengumpulkan RM3,000 dalam tempoh dua jam sahaja hasil sumbangan masyarakat," katanya.

Terdahulu, Chinnakaruppan yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak hadir pada sesi pendaftaran anaknya di UMK Kampus Kota di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chinnakaruppan yang berpendapatan kira-kira RM700 sebulan berkata sumbangan penduduk kampung dan orang ramai itu meringankan urusan perbelanjaan pada hari pendaftaran masuk di UMK.

“Selain Kalaimagal, saya juga perlu menyara tiga lagi anak yang masih belajar, sedangkan saya kini menghidap sakit saraf dan asma,” katanya.

Sementara itu, pihak Bahagian Kebajikan Pelajar dan Tatatertib (BKTP) Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK bertindak segera menerusi Program UMK Cakna dengan menyampaikan wang tunai RM1,000, sumbangan komputer riba serta bakul keperluan asas.

Kesusahan ditanggung keluarga Kalaimagal turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang turut tampil membantunya menyambung pengajian di UMK.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan