AM > BERITA

Negeri Sembilan Lihat Potensi Wujudkan Trek Perlumbaan Motosikal Lasak Dalam Hutan

02/10/2024 06:08 PM

SEREMBAN, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan sedang melihat potensi untuk mewujudkan trek perlumbaan motosikal lasak dalam hutan sebagai sukan baharu di negeri ini yang boleh menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata ia berikutan sukan lasak berkenaan semakin popular dan sentiasa mendapat tempat dalam kalangan peminatnya.

“Lagipun, kita juga akan menganjurkan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026 nanti, jadi kita sedang bangunkan program dan kemudahan dari masa ke masa, kita memang ada litar motocross di Jempol, tapi sekarang kita tengok potensi motocross dalam hutan pula.

“Mana-mana tempat sesuai kerana ia antara acara sukan popular, kita tengok mana sesuai untuk dijadikan produk kita, mungkin boleh buat di Jelebu atau sebagainya, sebab kita ada banyak hutan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga berminat untuk meneroka beberapa sukan lasak lain termasuk sukan kuda lasak seperti di Terengganu yang boleh menarik kehadiran pengunjung seluruh dunia sekali gus mampu meningkatkan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya merancang untuk menaik taraf litar permotoran di Jempol bagi memastikan acara berkenaan dapat dijalankan dengan baik selain membolehkan kejohanan lebih besar dapat diadakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan