AM > BERITA

PETRA: Program NRW Kebangsaan Bermula Tahun Hadapan

04/10/2024 04:15 PM

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Cadangan penambahbaikan Program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan dalam usaha meningkatkan pengurusan air di seluruh negara akan dijalankan bermula tahun 2025 sehingga 2030 melalui pembiayaan geran, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Kementerian itu melalui satu kenyataan berkata cadangan berkenaan yang melibatkan kos sebanyak RM2.525 bilion telah dipersetujui oleh jemaah menteri pada 24 Julai 2024. 

"Program ini merangkumi dua pendekatan melibatkan penggantian paip kritikal dan penyelesaian NRW holistik di enam negeri iaitu Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Pendekatan kedua adalah bagi negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan kadar imbuhan balik secara prorata untuk menggalakkan penyertaan operator air," kata kenyataan itu di sini hari ini.

PETRA memaklumkan melalui Belanjawan 2025, kerajaan turut mencadangkan peruntukan kepada Kelantan untuk penggantian meter dan pembaikan tangki air dengan projek dijangka siap pada 2025.

Seterusnya kenyataan itu menyatakan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) juga memberi pinjaman RM211.5 juta untuk menggantikan paip asbestos sepanjang 393 kilometer (km) dan dijangka selesai pada Oktober 2025.

"Sehingga kini, sebanyak 176 km telah siap dilaksanakan dengan kos RM60.5 juta," menurut kenyataan itu.

PETRA memaklumkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan kadar NRW melalui peningkatan infrastruktur air, projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Machang di Kelantan merupakan langkah penting.

"Dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM500 juta pada 27 Sept 2023, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air, sejajar dengan matlamat Program NRW Kebangsaan," katanya.

PETRA menyatakan pinjaman itu juga disalurkan kepada PAAB bagi membina LRA Machang yang akan menggunakan sumber air dari Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang.

Meskipun pada awalnya negeri Kelantan memohon penukaran pinjaman itu kepada geran, kerajaan mengekalkan pemberian pinjaman dengan moratorium 10 tahun.

PETRA berkata projek itu dijangka bukan sahaja akan menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, tetapi juga mengurangkan kadar NRW di negeri itu serta menyokong inisiatif nasional untuk memastikan bekalan air yang lebih efisien dan terjamin.

Kejayaan pelaksanaan LRA Machang dan Program NRW Kebangsaan itu dijangka akan memberikan impak positif yang signifikan dalam usaha meningkatkan kualiti bekalan air dan mengurangkan kadar NRW di seluruh negara, tambah PETRA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan