AM > BERITA

Black Hawk Dijangka Diterima Hujung Bulan Ini

05/10/2024 08:44 PM

PORT DICKSON, 5 Okt (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima helikopter Black Hawk sebelum hujung bulan ini iaitu mengikut tarikh dipersetujui dalam surat lanjutan kedua dikeluarkan oleh Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata sekiranya syarikat terlibat masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan, TDM akan menggesa Bahagian Perolehan mengambil tindakan tegas selari dengan syarat ditetapkan dalam surat lanjutan tersebut.  

Beliau menjelaskan seandainya kontrak tersebut dibatalkan spesifikasi dan penjenisan helikopter yang sama iaitu helikopter utiliti tempur wajar digantikan bagi memenuhi keperluan operasi TDM serta keperluan staf am pasukan udara TDM. 

"TDM berpegang kepada pendirian bahawa perolehan helikopter ini mestilah mematuhi segala perincian dan terma yang digariskan dalam surat setuju terima (SST) yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu kerajaan Malaysia dan syarikat Aerotree Defence and Services Sdn Bhd.

“Segala kelewatan akan diambil tindakan sewajarnya oleh Bahagian Perolehan selaku pengurus kontrak  termasuk mengenakan denda lewat atau penamatan kontrak sekiranya perlu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad berkata terdapat satu keperluan mendesak untuk menggantikan helikopter Super Lynx dan beberapa aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang usang.

Beliau berkata hingga kini TLDM masih mengoperasikan sebahagian daripada helikopter Super Lynx, yang fungsinya adalah terhad kepada peperangan permukaan dan pelancar torpedo antikapal selam sahaja.

“Pesawat tersebut telah beroperasi melebihi 20 tahun dan diunjurkan untuk beroperasi secara terhad hingga 2026. 

"Keperluan penggantian helikopter tempur maritim ini kritikal dan TLDM sedang menilai beberapa opsyen helikopter tempur maritim yang sesuai bagi menggantikan Super Lynx di bawah program perolehan helikopter peperangan antikapal selam (ASW) yang telah didaftarkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Dalam pada itu, Mohammad berkata sebahagian daripada 53 kapal TLDM juga telah melebihi usia penggunaan yang optimum dari segi keupayaan, teknologi dan kos selenggaraan sebagaimana termaktub dalam Dasar Kasting ATM, iaitu garis panduan terhadap pengurusan peralatan kapital aset TLDM.

Beliau berkata pada masa ini, daripada jumlah itu sebanyak 34 buah atau 63 peratus kapal TLDM telah melepasi had umur penggunaan dan 28  kapal dari jumlah keseluruhan tersebut telah melebihi 40 tahun usia perkhidmatan.

Sementara itu beliau berkata rancangan perolehan helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula bagi penggantian helikopter Nuri melibatkan 24 helikopter akan dilakukan secara berfasa.

Mohammad berkata 12 unit helikopter pencarian dan penyelamatan temput (CSAR) berkeupayaan utiliti pada fasa pertama telah diluluskan oleh kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2023.

“Perolehan helikopter baharu TUDM fasa kedua diawalkan kerana kerajaan telah mengarahkan TUDM mengikuti program perolehan helikopter untuk kegunaan kementerian atau agensi kerajaan secara penswastaan melalui kaedah pajakan aset yang diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Beliau berkata jenis helikopter yang dimuktamadkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Awam Swasta kepada TUDM ialah Leonardo AW 149 yang berkeupayaan melaksanakan penugasan mencari dan menyelamat serta utiliti.

“Perolehan ini melalui tapisan proses makmal pengurusan nilai bersama kementerian serta agensi kerajaan yang terlibat. Status terkini adalah semakan terma utama perjanjian konsesi bagi perolehan helikopter secara kaedah pajakan aset untuk diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri bagi kelulusan selanjutnya,” katanya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan