AM > BERITA

Kabin Baharu Klinik Kesihatan Segambut Beri Keselesaan Kepada Pesakit

05/10/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR 5 Okt (Bernama) -- Kabin baharu yang merupakan projek menaik taraf garaj berbumbung sedia ada di Klinik Kesihatan Segambut dapat menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat seterusnya menyediakan ruang lebih selesa.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata kabin satu tingkat bernilai RM150,000 itu akan berfungsi sebagai bilik rawatan, bilik kecemasan dan tempat kuarantin untuk pesakit.

“Sebelum ini pesakit terpaksa menunggu di tepi jalan kerana tiada ruang menunggu yang disediakan dan kebanyakan mereka adalah dalam kalangan ibu mengandung,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kabin Baharu Klinik Kesihatan Segambut di sini hari ini. 

Hannah berkata kemudahan sedia ada seperti pantri untuk petugas juga sangat terhad dan terdapat fasiliti lama yang sering mengalami masalah seperti kebocoran bumbung.

Beliau berkata pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kelulusan pembinaan satu klinik kesihatan yang lebih besar bagi menampung pesakit di kawasan ini. 

Kabin berkenaan menggunakan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2023 Pejabat Ahli Parlimen Segambut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan