AM > BERITA

Sakit Kronik Tidak Halang Dua Graduan KIAS Genggam Diploma

07/10/2024 05:21 PM

KOTA BHARU, 7 Okt (Bernama) -- Seorang graduan diploma yang sedang menjalani rawatan di sebuah hospital akibat jangkitan kuman pada jantung menggagahkan diri hadir meraikan hari bersejarahnya sempena Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) ke-24 di sini hari ini.

Muhammad Arsyad Muhammad Ghazali, 23, yang dirawat di Wad Rehabilitasi Jantung Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berkata kehadiran tersebut turut diiringi seorang doktor pakar dan tiga jururawat.

"Saya tidak mahu melepaskan detik bersejarah ini selepas tiga tahun menjadi penuntut jurusan Usuludin meskipun sedang menerima rawatan sejak tiga minggu lepas akibat jangkitan kuman pada injap jantung dan perlu mengambil antibiotik setiap empat jam, selain pemantauan rapi.

"Semalam saya membuat keputusan untuk turut hadir dengan memohon pelepasan daripada pihak hospital dan ditemani doktor pakar serta jururawat," katanya kepada pemberita selepas majlis istiadat tersebut.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata dia gembira kerana  berjaya menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapanya yang hadir berasingan dari rumah mereka di Pasir Mas.

Muhammad Arsyad yang bercita-cita menjadi pendidik terpaksa menangguhkan tawaran kemasukan menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 29 Sept lepas berikutan masalah kesihatan dihadapinya itu.

Sementara itu, seorang graduan jurusan Al Syariah, Nurul Izzah Fauzi, 22, yang menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE) sejak dua tahun lepas turut hadir di majlis konvokesyen itu walaupun terpaksa dipimpin kerana tubuhnya yang lemah.  

Selain kehilangan berat badan hampir 50 kilogram (kg) berbanding berat asal 85 kg, Nurul Izzah juga terpaksa menangguhkan pengajian ketika di semester empat kerana terlantar di rumah sebelum menyambung semula hingga berjaya pada hari ini. 

Istiadat konvokesyen itu yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyaksikan sebanyak 245 graduan diraikan melibatkan pelbagai program bidang Pengajian Islam dan Pengurusan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan