AM > BERITA

Ops Khas Jalmar Pupuk Kesedaran Isu Keselamatan Di Laut

07/10/2024 08:01 PM

SHAH ALAM, 7 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) melaksanakan Op Khas Jalmar Selangor bertujuan untuk berkongsi kesedaran isu-isu keselamatan di laut dengan pengusaha serta nakhoda bot penumpang.

Pengarahnya Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata operasi dua hari yang berakhir semalam itu menumpukan kawasan sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor melibatkan 48 anggota daripada APMM Selangor dan 21 anggota JLWT.

“Operasi khas ini memfokuskan kepada memberi kesedaran berkaitan isu-isu keselamatan di laut dan kepentingan peralatan di atas semua bot selain memastikan pengusaha serta nakhoda mematuhi syarat dalam lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut.

“Operasi ini merupakan kejayaan bagi kedua-dua pihak dalam usaha mengurangkan kesalahan yang dilakukan bot penumpang di samping menitikberatkan keselamatan di laut agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata operasi tersebut dibahagikan kepada dua fasa utama iaitu sesi perkongsian ilmu berkaitan kesalahan lazim di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 oleh penceramah daripada JLWT.

Selain itu, beliau berkata pengoperasian di laut bagi memeriksa bot penumpang menggunakan bot Maritim Perkasa 35 dan bot Syahbandar 1 milik JLWT yang meliputi perairan Pelabuhan Klang, Terminal Jeti Pelabuhan Selatan Jeti dan Jeti Pulau Ketam.

“Bagi perairan Kuala Selangor pemeriksaan melibatkan kawasan tumpuan pelancongan seperti Sky Mirror, NYC Tour Sky Mirror and Sky Mirror Fun Life, Sky Mirror World and Boat Cafe serta Sky Mirror Kuala Selangor.

“Sebanyak 44 pemeriksaan telah dibuat sepanjang operasi dengan satu tangkapan direkodkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan