AM > BERITA

GISBH: MAIS Mulakan Proses Pulih Akidah 261 Kanak-kanak

07/10/2024 08:22 PM

SHAH ALAM, 7 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mula melaksanakan proses pemulihan akidah terhadap 261 kanak-kanak ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejak 1 Okt lepas dengan menggunakan modul khas yang dibangunkan oleh majlis agama itu.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata modul yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) itu, adalah antara pelan tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kanak-kanak GISBH yang bermula sejak 23 Sept lepas.

“Sehingga kini, seramai 20 orang guru Al-Riqab MAIS terlibat mengajar di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan 261 kanak-kanak itu.

“Selain itu, melalui agensi MAIS iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), kita turut menyalurkan keperluan asas termasuk keperluan asas ibadah solat untuk kanak-kanak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, katanya MAIS juga mempunyai Pusat Pemulihan Majlis iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

Kedua-dua pusat ini, menurutnya berperanan menguruskan perkhidmatan perlindungan bimbingan, pemulihan rawatan spiritual Islam dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak.

“Oleh itu, MAIS sentiasa bersedia membantu bekas ahli GISBH sama ada kemasukan secara sukarela atau perintah mahkamah bagi proses pemulihan,” katanya yang turut memaklumkan MAIS mempunyai 26 rumah pemulihan Al-Riqab untuk membantu pemulihan ahli GISBH dengan modul yang sama.

Menyentuh tentang perancangan jangka panjang, Abdul Aziz berkata mereka yang telah mengikuti proses pemulihan boleh menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sama ada untuk tujuan pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan mahupun ekonomi bergantung kepada syarat tertentu. 

Selain itu, beliau berkata bagi memastikan mereka yang di luar sana terus dibimbing dan tidak terjebak dengan ajaran ini, usaha dakwah dan kesedaran menerusi Bahagian Dakwah JAIS terus digiatkan

Malah beberapa Jawatankuasa MAIS sedia ada seperti Jawatankuasa Bertindak Ancaman Akidah, Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita, Jawatankuasa Dakwah, Jawatankuasa Pengawalan Akidah dan Jawatankuasa Riqab turut memainkan peranan masing-masing bagi memperkasakan usaha membanteras ajaran sesat dan usaha dakwah, katanya.

Beliau menambah pihaknya turut menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan