AM > BERITA

10 Murid SK Sultan Hisamuddin Alam Shah Berkomunikasi Dengan Angkasawan Di ISS

07/10/2024 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Hari ini menjadi hari yang amat bermakna buat 10 murid Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Kuala Lumpur, apabila mereka berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan Angkasawan wanita Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Kapten Sunita Williams.

Peluang yang hadir menerusi program ISS Contact 2024 yang diadakan di Planetarium Negara itu pastinya memberikan pengalaman istimewa buat kesemua mereka yang terdiri daripada murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor berkata menerusi program itu, murid diberikan peluang bertanya soalan dan berbual dengan Sunita yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa menerusi Stesen Radio Amatur.

“Kita telah berkomunikasi secara langsung selama sembilan hingga 10 minit dengan ISS yang berada di antara 300 hingga 435 kilometer (km) dari permukaan bumi yang berkelajuan 26,700km sejam. Saya harap semoga inisiatif ini menjadi inspirasi kepada mereka untuk minat bidang angkasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Program ISS Contact 2024 merupakan program tahunan dan diadakan sempena sambutan Minggu Angkasa Sedunia ke-24 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula 4 hingga 10 Okt.

Bertemakan ‘angkasa dan perubahan iklim’, program tersebut menyokong inisiatif pengukuhan pembudayaan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) iaitu memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi untuk transformasi sosioekonomi dan pertumbuhan inklusif. 

Dalam pada itu, Mohd Zamri Shah berkata murid juga diberi peluang mendalami bidang teknologi radio yang digunakan di Stesen Radio Amatur untuk mengkaji perubahan iklim dunia. 

“Kami (Planetarium Negara) berharap program seperti ini dapat menggalakkan murid menceburi bidang teknologi radio selain dapat memahami ilmu sains angkasa dan perubahan iklim di masa hadapan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan