AM > BERITA

Jelajah Belia Rukun Negara Bermula Hari Ini, Libatkan Lebih 1,200 Peserta

08/10/2024 12:00 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia mengerakkan Jelajah Belia Rukun Negara di seluruh negara bermula bulan ini hingga awal 2025, melibatkan 1,200 peserta berumur 18 hingga 30 tahun.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memaklumkan inisiatif itu bertujuan membentuk kemenjadian belia menjiwai Rukun Negara, sekali gus mengiktiraf peserta sebagai Duta Kecil Rukun Negara.

Inisiatif berkenaan juga adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) pada 29 Feb lepas, yang telah meluluskan supaya Modul Penghayatan Rukun Negara dibangunkan dan dilaksanakan di enam zon negeri.

Pelaksanaan Jelajah Belia Rukun Negara itu menggariskan dua objektif utama iaitu meningkatkan literasi, pemahaman dan penghayatan pembudayaan Rukun Negara dalam kehidupan seharian, dan mencambahkan idea, falsafah serta pemahaman berkaitan agenda penghayatan Rukun Negara sebagai ejen penyatuan dalam kalangan belia.

KPN memaklumkan tema ‘Menjiwai Rukun Negara’, signifikan dengan usaha memastikan roh dan semangat Rukun Negara dihayati sebagai pembina serta pengikat perasaan semangat cintakan negara dalam jiwa kita.

Empat tema utama dicadangkan dalam modul Penghayatan Rukun Negara iaitu Kenapa dan Mengapa?, Mendakap Kepelbagaian, Kefahaman yang Mendalam terhadap Rukun Negara serta Pembinaan Jati Diri dan Nilai Kemanusiaan.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pemekaan setiap cita-cita dan prinsip Rukun Negara perlu dipasak dalam jiwa anak muda untuk membentuk belia berwawasan serta mempunyai hala tuju jelas sebagai rakyat Malaysia yang menghargai kedamaian dan kepelbagaian adat budaya sedia ada.

"Dengan menghayati Rukun Negara, belia dapat berperanan aktif dalam pembangunan negara dan memupuk semangat patriotisme yang kukuh," katanya.

-- BERNAMA 

 

TAG:


TCT TCT ZUZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan