AM > BERITA

99 Peratus Pengguna Terjejas Di SPT, SPS Terima Bekalan Air - PBAPP

08/10/2024 02:32 PM

GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) --  Sebanyak 99 peratus daripada 118,000 pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual (SWSI) di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) sejak Jumaat lepas telah menerima bekalan air setakat 11.45 pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan berkata ketika ini hanya tiga kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di SPS iaitu Persiaran Jawi Golf Resort, Jalan Sungai Duri dan Taman Widuri masih mengalami gangguan yang disebabkan penggunaan air yang sangat tinggi di SPT dan SPS sejak 6 Okt.

“Majoriti tangki air dan takungan di kawasan terjejas akibat SWSI baru-baru ini telah kering dan dalam tempoh 48 jam lepas majoriti pengguna di kawasan yang terjejas telah mengambil sejumlah besar air untuk kegunaan segera dan penyimpanan semula.

“Berdasarkan data Pusat Kawalan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP telah mengepam antara 160 dan 180 juta liter air sehari (JLH) dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU) untuk bekalan kepada pengguna di SPT dan SPS sejak 6 Okt (Ahad),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan turut memaklumkan sejak kerja pembaikan saluran paip di Jalan Pengkalan Tambang, Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh dan Jalan Kubang Semang siap Ahad lepas, PBAPP telah mengeluarkan volum optimum sebanyak 1,047 JLH di LRA Sungai Dua. 

Beliau PBAPP akan terus melaksanakan tindakan di lapangan bagi mencapai pemulihan bekalan 100 peratus hari ini termasuk kerja ‘de-airing’ saluran paip di lokasi yang menjejaskan bekalan air di tiga kawasan terakhir yang terlibat dan memeriksa serta menyemak semula kemungkinan punca isu bekalan air yang lain.

Pathmanathan berkata pihaknya juga menghasilkan dan mengepam air sebanyak mungkin daripada LRA Bukit Panchor di SPS untuk melengkapkan bekalan air terawat di daerah tersebut.

Kira-kira 118,000 akaun pengguna di lebih 40 kawasan di SPT dan SPS mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam bermula 10 malam 4 Okt hingga 10 malam 5 Okt, namun menjadualkan semula pemulihan bekalan disebabkan insiden luar jangka pada kerja pembaikan paip di Jalan Pengkalan Tambang, SPU.

Langkah itu bagi membolehkan PBAPP membaiki kebocoran paip yang menjejaskan perkhidmatan di SPT dan SPS susulan penyambungan serta penggantian saluran paip baharu sepanjang 180 meter berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh yang menelan kos RM2 juta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan