AM > BERITA

AKRAB Berupaya Bantu Penjawat Awam Berdepan Masalah Kesihatan Mental

08/10/2024 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) berupaya membantu penjawat awam yang berdepan masalah kesihatan mental termasuk tekanan emosi untuk keluar daripada masalah berkenaan.

Pengerusi AKRAB Negeri Melaka Imran Borhan berkata dengan melibatkan diri dengan AKRAB, individu yang berhadapan masalah seperti itu akan diberikan ruang untuk berkongsi pengalaman dan perasaan mereka serta mendapatkan sokongan moral. 

“Ini salah satu permulaan buat mereka meluahkan perasaan, menghilangkan stres dan memberitahu apa yang berlaku pada mereka sebelum langkah selanjutnya (mengikut keperluan) sama ada mereka perlukan (rawatan) psikiatri dan sebagainya.

“Kita bantu keluarkan orang daripada masalah mengikut kemampuan dan akan merujuk kepada ahli psikiatri jika perlu…ini sekali gus dapat menyumbang kepada produktiviti sesuatu jabatan sebab penjawat awam ialah aset, kalau kita bermasalah (ini menyebabkan) jabatan juga bermasalah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembantu Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan AKRAB Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan AKRAB Jabatan Kesihatan Negeri Melaka ke Wisma Bernama di sini hari ini. 

AKRAB diwujudkan bertujuan melahirkan rakan pembimbing sekerja dalam membantu melahirkan suasana budaya kerja positif di jabatan atau agensi, antara lain menawarkan latihan dan aktiviti bagi meningkatkan kesejahteraan mental, sekali gus mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.

Pegawai Psikologi di Jabatan Ketua Menteri Melaka Azlina Johan pula berkata beliau telah melakukan banyak intervensi dengan penjawat awam yang ada masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kegelisahan terutama pada pasca pandemik COVID-19. 

"Pengalaman saya sepanjang saya buat intervensi, ada perubahan yang baik. Bila kita adakan program atau intervensi dengan penjawat awam ini, insya-Allah mereka dapat dipulihkan,” katanya. 

Pada 1 Okt, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata lebih 40,000 penjawat awam di negara ini berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi yang memerlukan intervensi segera bagi mengelakkan daripada menghidapi kecelaruan mental. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan