AM > BERITA

Sidang Parlimen: PM Anwar Mahu Jemaah Menteri Buat Persiapan Rapi - Fahmi

08/10/2024 04:29 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Barisan Jemaah Menteri diminta supaya membuat persiapan rapi dan memahami semua rang undang-undang (RUU) serta usul yang bakal dibentangkan pada persidangan Parlimen pada 14 Okt ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, memandangkan Belanjawan 2025 bakal dibentangkan pada 18 Okt nanti.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, ada dibangkitkan beberapa perkara dari segi persiapan, terutama dalam kalangan para menteri, untuk memastikan usaha bagi menjawab soalan (berkaitan rang undang-undang dan usul) dapat dijawab dengan baik.

“(Ia termasuk) tahap kesiapsiagaan untuk membentangkan sejumlah rang undang-undang serta usul-usul yang mungkin akan dibincang dan dibahaskan,” katanya. 

Ditanya status persiapan Belanjawan 2025, beliau berkata Jemaah Menteri hanya akan mengetahui maklumat dan inti pati belanjawan pada mesyuarat Jemaah Menteri 18 Okt ini, iaitu pada waktu pagi. 

“Di situ kita akan (ada) maklumat mutakhir mengenai beberapa keputusan dan bakal pengumuman (Belanjawan 2025). Ia tertakluk kepada Perdana Menteri dan disahkan oleh Kementerian Kewangan.

“Waktu ini kita ada mendapat sedikit maklumat, tapi ia belum muktamad. Jadi saya tidak ada sebarang maklumat tambahan dan tidak ada spekulasi. Kita tunggu 18 Oktober,” katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan