AM > BERITA

GISBH: Jumlah Kanak-kanak Diselamatkan Kini 662 Orang - Fahmi

08/10/2024 04:39 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Jumlah kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melalui beberapa operasi pihak berkuasa kini berjumlah 662 orang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kesemua mereka juga kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini.

“..kita tidak bincang perkara lain seperti isu fatwa di peringkat negeri, sama ada ajaran dibawa kumpulan ini sesat atau tidak. Boleh rujuk kepada fatwa daripada mufti,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu berkaitan GISBH Holdings Sdn Bhd dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Polis melancarkan Op Global awal September lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Seramai 359 pengikut GISBH turut ditahan dalam Op berkenaan, termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu, dan Perlis, Selangor serta Pahang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan