AM > BERITA

Malaysia Mahu Bawa ASEAN Menuju Kedudukan Lebih Baik

08/10/2024 04:50 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia akan memainkan peranan membawa ASEAN ke satu kedudukan yang lebih baik sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula hari ini di Vientiane, Laos dan akan menerima kepengerusian ASEAN secara rasmi pada 11 Okt.

“Malaysia akan secara rasminya menerima kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025 dan sudah pasti kepengerusian ASEAN ini bagi tahun 2025 adalah satu perkara yang cukup dinantikan.

“Malaysia akan mainkan peranan untuk pastikan ASEAN itu sendiri berada pada satu kedudukan yang lebih baik. Insya-Allah, kita harap dan menegaskan beberapa prinsip yang dipegang oleh ASEAN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sementara itu, Fahmi berkata Malaysia kekal dengan pendirian untuk memberi sokongan sepenuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.

“Semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan