AM > BERITA

Sarawak Metro Sertai Pelancaran Kereta Api Hidrogen Dan Art Terbaharu CRRC

08/10/2024 05:38 PM

KUCHING, 8 Okt (Bernama) -- Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) telah diberi penghormatan untuk bersama-sama dalam pelancaran kereta api terbaharu CRRC Corporation Limited, bersempena pameran InnoTrans 2024 di Berlin, baru-baru ini.

Tren berkenaan iaitu ‘Transit Aliran Autonomi (ART) 2.0’ CCRC dan ‘Kereta Api Antara Bandar Pintar Tenaga Baharu Cinova H2’.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa yang mewakili syarikat itu pada majlis pelancaran berkenaan, memuji pencapaian CRRC terutama inovasi yang diperkenalkan dalam versi terbaharu ART.

“Ia satu penghormatan bagi mewakili Sarawak Metro sebagai sebahagian daripada majlis pelancaran tren baharu terutama pada acara berprestij seperti InnoTrans, yang terkenal sebagai pameran perdagangan terbesar dalam industri kereta api.

“Saya gembira melihat ART terkini CRRC, yang berkongsi banyak persamaan reka bentuk dengan ART berkuasa hidrogen kami dan sudah pasti inspirasi mungkin datang daripada kerjasama CRRC dengan jurutera kami ketika merancang reka bentuk akhir ART Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

ART direka bagi menampung jumlah penumpang pada tahap rendah sehingga sederhana yang menggabungkan manfaat trem dan kenderaan berasaskan jalan, disesuaikan dengan keperluan pengangkutan bandar.

Seperti ART projek KUTS, ART terbaharu ini menggunakan roda getah dan trek maya yang tidak memerlukan penggunaan trek dan kabel elektrik.

Reka bentuk ini secara drastik mengurangkan kos pembinaan dan penyelenggaraan trek sambil secara signifikan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 769 tan setiap kilometer.

Mazli berkata beliau gembira melihat komitmen CRRC dalam membangunkan penyelesaian berkuasa hidrogen untuk industri kereta api dengan pengenalan Cinova H2 – satu set kereta api berkuasa hidrogen yang beroperasi dengan lancar di rel tanpa elektrik.

CRRC menyatakan Cinova H2 boleh mencapai kelajuan maksimum 200 kilometer sejam (km/j) dengan formasi empat gerabak, membawa lebih daripada 1,000 penumpang.

Setiap tren dengan anggaran operasi tahunan sejauh 300,000 kilometer, ia boleh mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak kira-kira 730 tan setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan