AM > BERITA

AADK Sasar 75 Peratus KBT Penagihan Dadah Bertukar Status Tahun Ini

08/10/2024 06:43 PM

GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) -- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan 75 peratus atau 117 daripada 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penagihan dadah yang dikenal pasti di seluruh negara bertukar status pada tahun ini.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan laporan sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak 32 KBT berjaya ditukar status kepada hijau pada tahun ini manakala tujuh lagi kawasan yang disasarkan masih berstatus kuning.

Beliau berkata keseluruhannya 39 KBT sudah berstatus Kawasan Berisiko Rendah (KBR) penagihan dadah manakala 39 lagi KBT berstatus pengekalan.

"Sehubungan itu AADK mengadakan Mesyuarat Libat Urus Ketua Pengarah bersama Pegawai Daerah KBT Penagihan Dadah bagi membincangkan pelaksanaan dan pencapaian inisiatif program pengurangan KBT Penagihan Dadah yang disertai 48 Pegawai Daerah KBT," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu secara tidak langsung dapat memastikan pemantauan berterusan oleh pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan agar risiko yang wujud dapat ditangani segera sebelum KBT berkenaan menjadi parah.

Sementara itu AADK berkata bagi merealisasikan pengurangan KBT, AADK Pulau Pinang mewujudkan Anjung Komuniti di KBT yang berfungsi sebagai pusat aktiviti harian melibatkan kesemua rakan strategik, pemimpin dan komuniti setempat di bawah Jawatankuasa Kumpulan Penggerak KBT.

"AADK Pulau Pinang mempunyai enam Anjung Komuniti meliputi tiga di Seberang Perai Tengah iaitu Anjung Komuniti Guar Perahu, Anjung Komuniti Kuala Mengkuang dan Anjung Komuniti Bukit Teh serta masing-masing satu di Seberang Perai Utara iaitu di Anjung Komuniti Bakau Tua, daerah Barat Daya di Anjung Komuniti Sungai Ara dan daerah Timur Laut di Anjung Komuniti Desa Mawar.

"Bagi tempoh Ogos 2023 hingga Julai lepas 4,315 orang telah menerima perkhidmatan Anjung Komuniti itu, meliputi 638 program anjuran AADK Pulau Pinang dengan kerjasama rakan strategik dan rakan pintar AADK," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan