AM > BERITA

Karnival Cuti-cuti Malaysia Di Kompleks Kraf 25-27 Okt

08/10/2024 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pelbagai tawaran menarik pakej pelancongan termasuk potongan harga antara 15 hingga 50 peratus menanti pengunjung Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 Okt ini di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata KCCM 2024 bertemakan ‘Crafting Holidays’ itu menawarkan potongan harga lebih 100 pakej pelancongan bagi memberi peluang kepada orang ramai merancang percutian sambil menikmati pengalaman secara langsung dalam aktiviti seni, kraf tangan dan budaya warisan tempatan.

“Antara pakej pelancongan menarik dalam negara yang ditawarkan merangkumi destinasi alam semula jadi, pengalaman budaya dan aktiviti pengembaraan. Pengunjung boleh menikmati tawaran percutian yang meliputi destinasi popular di seluruh Malaysia serta aktiviti unik seperti jelajah warisan, sukan air, selam skuba, birding (memerhati burung), stargazing (mengamati bintang) dan pengembaraan alam,” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran KCCM 2024 di sini hari ini.  

Beliau berkata penganjuran KCCM 2024 yang julung kali diperkenalkan melalui kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia itu bertujuan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik menerusi penjualan pakej pelancongan secara terus kepada pengguna.

“Pada masa yang sama, kita mahu membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi penglibatan lebih 100 wakil industri yang terdiri daripada jabatan pelancongan negeri, agensi pelancongan, pemilik produk pelancongan, hotel, taman tema serta pengusaha kraf tangan. Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan kunjungan orang ramai ke Kompleks Kraf,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan membawakan Pasar Saloma yang berkonsepkan perkampungan Melayu klasik sebagai platform niaga untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Pasar Saloma bertemakan nostalgia dengan lebih daripada 30 reruai yang menampilkan peniaga berbusana tradisi sambil menawarkan pelbagai jualan seperti juadah tradisional dan produk-produk unik digemari turun-temurun.

“KCCM 2024 akan dimeriahkan dengan persembahan artis, tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan, pertunjukan roti canai terbang serta cabutan bertuah,” katanya. 

Khairul Firdaus berkata kesemua program yang melibatkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan pada tahun ini merupakan persiapan untuk Malaysia mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025. 

Sementara itu Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata pengunjung yang ingin datang ke KCCM 2024 boleh menggunakan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Massa (MRT) yang berhenti di Stesen Jalan Conlay serta Bas KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) yang turut berhenti di hadapan Kompleks Kraf.

“Kita melihat kemudahan tempat parkir agak terhad, jadi apa yang kita lakukan adalah kita berkerjasama dengan Bas KL HOHO untuk menyediakan bas perantara secara percuma bagi memudahkan pengunjung hadir Kompleks Kraf ini,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan