AM > BERITA

PPK Setuju Teliti Laporan Jawatankuasa Kajian EAIC Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan

08/10/2024 08:40 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas (PPK) Kajian Terhadap Syor-Syor dan Langkah Pencegahan telah bersetuju untuk meneliti secara mendalam mengenai semua aspek berkaitan syor-syor dan langkah pencegahan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung kes kematian dalam tahanan.

Pengerusi PPK Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham berkata mesyuarat yang bersidang buat pertama kalinya hari ini, turut akan mengesyorkan cadangan penambahbaikan tatakelola lokap, depot dan pusat tahanan kepada kerajaan dan entiti kawal selia berkaitan.

"Pelaksanaan PPK ini telah ditetapkan secara berperingkat selama enam bulan sehingga selesai yang melibatkan empat fasa tindakan iaitu tindakan lawatan ke lokap, depot dan pusat tahanan terpilih, pengemukaan maklum balas terperinci termasuk justifikasi terhadap pelaksanaan syor, penyediaan laporan dan pembentangan laporan kepada kerajaan.

"Laporan PPK ini diharap akan meningkatkan tatakelola lokap dan pusat tahanan dengan mengenal pasti kelemahan dalam sistem yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan dan membantu kerajaan merumuskan polisi yang lebih baik, memastikan tanggungjawab pihak terlibat, serta meningkatkan kesedaran awam dan kerjasama antara agensi dalam menjaga hak asasi manusia," katanya dalam kenyataan.

Prasad yang juga timbalan pengerusi EAIC berkata Laporan Jawatankuasa Kajian EAIC Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan dan Mengenal Pasti Langkah Pencegahan telah dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) pada 7 Mei lepas yang memutuskan untuk penubuhan PPK tersebut.

PPK turut dianggotai wakil daripada pelbagai kementerian, suruhanjaya dan agensi penguatkuasaan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis dan Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan