AM > BERITA

DBP Pertingkat Program Bahasa Melayu Di Universiti Luar Negara

08/10/2024 08:45 PM

MELAKA, 8 Okt (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan meningkatkan program bahasa Melayu di beberapa universiti luar negara termasuk China, Thailand dan Jepun dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Mohd Salahuddin Mohamed berkata setakat ini 15 universiti di China dan lapan universiti di Thailand telah menubuhkan Fakulti Pengajian Bahasa Melayu, manakala di Jepun terdapat universiti yang menawarkan mata pelajaran Bahasa Melayu.

"Ini memperlihatkan bahasa Melayu semakin berkembang luas…lebih membanggakan apabila kita bertemu dengan wakil-wakil (dari negara itu) mereka dapat bertutur dengan sangat baik menggunakan bahasa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Melaka yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Mohd Salahuddin berkata DBP turut mengambil langkah proaktif contohnya dengan menghantar buku sebagai rujukan mata pelajaran Bahasa Melayu ke Jepun dan mengadakan pertandingan pidato Bahasa Melayu antara universiti di China.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat September tahun ini, DBP menerima kira-kira 120,000 permohonan pengesahan bahasa Melayu bagi kelulusan lesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk siaran iklan, papan tanda atau papan premis perniagaan di tempat awam yang dibenarkan.

"Sepanjang tahun lepas pula kita menerima sebanyak 122,000 permohonan…jika kita lihat kesedaran masyarakat semakin meningkat dan ini sesuatu yang sangat baik dalam usaha mengangkat bahasa kebangsaan.

"Pengesahan ini penting bagi memastikan papan tanda dipaparkan mengikut penggunaan bahasa ditetapkan dari segi nama, ejaan, istilah dan lain-lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan