AM > BERITA

Belanjawan 2025: Belia Harap Tambahan Dana PTPK, Tabika Diperbanyakkan

09/10/2024 10:50 AM

Oleh Afifitri Muhammad

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Penambahan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta penubuhan lebih banyak pusat pendidikan awal kanak-kanak yang dikendalikan oleh agensi kerajaan menjadi antara harapan belia menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata penambahan dana PTPK sangat penting kerana jumlah pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin meningkat, di samping kos pembelajaran yang turut bertambah.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM180 juta dalam Belanjawan tahun ini, jadi kami berharap agar dana ini dapat ditambah selaras dengan keperluan semasa. Kami sedar bahawa kerajaan sangat memberi perhatian terhadap bidang ini, justeru adalah wajar jika dana PTPK ditambah sesuai dengan perkembangan terkini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut menekankan bahawa penetapan gaji premium kepada lepasan TVET pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000 oleh Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET), yang diumumkan pada 23 Sept lalu, akan meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang tersebut pada tahun hadapan.

"Semasa sesi Townhall Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) baru-baru ini, memang terdapat permintaan tinggi daripada pelajar untuk menceburi bidang TVET. Malah, ada juga permintaan untuk memperluaskan tenaga pengajar di kolej-kolej kemahiran," tambahnya.

Mohd Izzat Afifi turut berharap jika kerajaan bersetuju menambah dana PTPK, ia turut diperluaskan kepada Skim Latihan Dual Nasional (SLDN). Buat masa ini, pelajar yang menyertai SLDN tidak layak untuk memohon pembiayaan melalui PTPK.

Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Pra-sekolah. Usaha ini akan memberi manfaat besar kepada keluarga muda, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Ramai golongan belia, terutamanya keluarga muda, masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi serta yuran tadika swasta yang mahal. Oleh itu, penambahan Tabika dan Pra-sekolah sangat diperlukan kerana jumlah yang sedia ada tidak mencukupi dan tidak mampu menampung kemasukan murid," katanya. 

Sementara itu, Presiden Prihatin Malaysia Luqman Hakim Md Zim, pula mencadangkan agar kerajaan memperluaskan program biasiswa kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam semua bidang penyelidikan yang berkelayakan.

"Biasiswa ini perlu merangkumi semua bidang, terutamanya penyelidikan, bagi memperkasakan modal insan negara dan menyumbang kepada perkembangan pendidikan negara," katanya.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan memperkenalkan skim bantuan khusus untuk usahawan belia yang ingin menceburi sektor ekonomi digital. Langkah ini dilihat penting untuk merancakkan sektor yang ketika ini didominasi oleh syarikat-syarikat besar.

"Ini adalah peluang baru yang kerajaan perlu ambil perhatian, kerana ekonomi digital memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Dengan adanya lebih banyak syarikat pemula yang melibatkan golongan belia, kita dapat meningkatkan jumlah usahawan muda dan merancakkan lagi sektor tersebut," katanya.

Pada 4 Okt  lepas, Menteri Digital Gobind Singh Deo memaklumkan bahawa ekonomi digital dijangka menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK menjelang akhir tahun depan.

Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran ini, dengan peningkatan pelaburan digital kepada RM66.22 bilion pada separuh pertama tahun ini, berbanding RM46.2 bilion pada 2023.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan