AM > BERITA

Penamatan Subsidi Telur Ayam Sedang Dipertimbangkan - Mohamad

09/10/2024 12:48 PM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan itu kembali pulih dan stabil.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah menamatkan subsidi berkenaan wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta sebulan.

"Cadangan telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan dalam pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KPKM di sini hari ini.

Mohamad berkata penjimatan berkenaan dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang mendesak.

Menurut beliau, negara telah membelanjakan lebih RM3 bilion sejak Februari 2022 untuk subdisi ayam dan telur, sebelum kerajaan melaksanakan penamatan subsidi ayam pada 1 Nov 2023 dan menyaksikan bekalan serta harga ayam semakin stabil hingga kini.

“Apabila kita mengambil keputusan tidak popular iaitu menamatkan subsidi ayam, pada ketika itu ramai memperlekehkan usaha kita, kononnya harga ayam akan melambung.

"Alhamdulillah, setelah subsidi ditamatkan, harga ayam tidak lagi melambung dan lebih penting lagi, negara mendapat manfaat dengan penjimatan RM100 juta sebulan melalui penamatan subsidi ayam," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan