AM > BERITA

Cuti Hujung Minggu Johor: Agensi Pusat, Negeri Kerjasama Atasi Isu Berbangkit

09/10/2024 02:39 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Agensi kerajaan Pusat dan negeri akan bekerjasama dalam melaksanakan beberapa tindakan bagi mengatasi sebarang isu berbangkit, susulan penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan itu antaranya berkaitan aspek pentadbiran, agar tiada sebarang isu timbul terutamanya dari segi perkhidmatan agensi Persekutuan di negeri berkenaan.

“Daripada segi penyelarasan di peringkat pusat dan negeri serta pentadbiran, memang akan diuruskan supaya tidak berlaku apa-apa isu perkhidmatan, terutama agensi-agensi Persekutuan,” katanya pada sidang media mingguan pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat Kabinet membincangkan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkait penyelarasan cuti hujung minggu di negeri berkenaan.

Semalam baginda bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).

Pada 1 Jan 2014, pertukaran cuti hujung minggu negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, beliau memberi peringatan agar pengamal media lebih peka terhadap pemilihan tajuk berita, agar ia bersesuaian dengan kandungan yang dilaporkan.

“Ini teguran, saya baca dalam media sosial mengenai perbezaan antara headline, click bait (tapi) kandungan lain, saya harap rakan media boleh adakan perbincangan mengenai kewajaran dan kesesuaian mengenai pilihan headline,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan