AM > BERITA

LUAS Laksanakan Mitigasi, Siasatan Pencemaran Minyak Di Sungai Gong

09/10/2024 04:55 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan langkah pencegahan awal dengan meletakkan 'boom minyak' di Sungai Gong bagi memerangkap kesan minyak, selepas penemuan bau minyak di sungai tersebut pada 9.50 pagi, Isnin lepas.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata langkah mitigasi segera meliputi pemantauan statik dengan kekerapan setiap 30 minit itu turut dilaksanakan di Sungai Sembah.

Beliau berkata pihaknya turut mengakitfkan siasatan berdasarkan Kod Kuning dalam Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor susulan bacaan bau 1 ton direkodkan di sungai berkenaan.

"Langkah mitigasi dan siasatan menyeluruh dibuat kerana aliran tercemar tersebut berpotensi memberi impak kepada Loji Rawatan Air (LRA) utama, iaitu LRA Rantau Panjang pada anggaran jarak 21 kilometer (km), LRA (Sungai Selangor Fasa) SSP1, SSP2 dan SSP3 pada jarak sekitar 25.68 km," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jamaliah berkata siasatan awal mendapati punca aliran tercemar disyaki berpunca daripada sebuah premis kilang di kawasan Taman Perindustrian Bersepadu Rawang. Kerosakan injap tangki kilang tersebut dipercayai telah menyebabkan kebocoran tangki yang mengandungi minyak (fuel oil), yang seterusnya mengakibatkan pencemaran di sungai.

"Kebocoran daripada tangki dengan kapasiti 1.84 meter padu tersebut telah menyebabkan kira-kira 1.23 meter padu kapasiti aliran minyak melimpah keluar serta memasuki longkang berhampiran  seterusnya ke Sungai Gong," katanya.

Susulan itu, Jamaliah berkata LUAS telah mengarahkan premis tersebut menghentikan aliran minyak tersebut serta-merta selain turut mengeluarkan Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis terlibat bagi melaksanakan kerja pemulihan dan pembersihan kawasan terjejas dengan kadar segera.

Beliau berkata kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di semua lokasi terlibat yang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh premis kilang itu telah selesai hari ini. Sebanyak 10,000 liter air yang tercemar dengan sisa minyak telah dibersihkan dan disedut.

"Verifikasi di semua lokasi terlibat juga telah dilaksanakan, dan pencemaran berjaya dikawal sepenuhnya dengan bacaan bau serta keadaan sungai kini berada dalam keadaan normal," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan